Monday, July 7, 2014

Perang di Syria hasilkan konflik tidak berkesudahan



PAS telah memecat Ustaz Mohd Lotfi Ariffin, yang terlibat dalam konflik bersenjata di Syria, tindakan yang telah mencetuskan pelbagai reaksi yang memandang negatif keputusan PAS itu.

Lotfi menyertai kumpulan militan dalam konflik bersenjata menentang pemerintahan Syria yang dipimpin Presiden Bashar al-Assad, yang sebenarnya masih lagi merupakan kerajaan Syria yang sah.

Pemerintah Syria tidak dapat dinafikan ialah pemerintah yang zalim dan keras terhadap rakyatnya, tetapi isu ini bukan hanya melibatkan hal dalaman Syria tetapi berkait dengan hal ehwal serantau dan umat Islam yang lebih luas.

Seperti pernah ditulis oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, walaupun rejim Bashar kejam, Damsyik juga membantu gerakan Islam seperti Hamas dan Jihad Islami yang terlibat dalam penentangan bersenjata terhadap rejim Zionis.

Tegas Ustaz Abdul Hadi, isu Syria perlu ditangani dengan berhati-hati agar tidak terjerat oleh perangkap Zionis, yang bermatlamat menghapuskan atau mengurangkan ancaman kepada keselamatannya.

Rejim Bashar membuka pintu kepada Hamas selepas dihalau dari Jordan, dan pada masa sama membantu membuka jalan untuk perbekalan senjata kepada Hamas, Hizbullah dan Jihad Islami dalam memerangi Zionis.

Israel boleh mendapat manfaat apabila Syria tidak dikuasai pemerintah yang berperanan membantu kumpulan-kumpulan penentangnya, seperti peranan yang diambil oleh Bashar sekarang ini, walaupun berdasarkan kepentingan-kepentingan tertentu.

Perkiraan melibatkan kepentingan gerakan Islam yang dilindungi dan dibantu oleh Syria juga isu yang penting perlu diambil kira.

Dalam kalangan negara yang bersempadan dengan Israel, Syria satu-satunya negara (selain Lubnan yang sebenarnya masih dikira berperang dengan Israel) yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu.

Sekiranya rejim pimpinan Bashar jatuh, tidak dapat dipastikan siapa yang akan mengambil alih pemerintahan, dan sama ada konflik bersenjata akan terus berakhir dan keadaan kembali aman atau terus merosot seperti yang dilihat di Iraq dan Afghanistan.

Konflik bersenjata di Syria memburukkan keadaan, dengan mendedahkan rakyat kepada lebih banyak kesengsaraan dan membuka jalan untuk lebih banyak senjata dan orang luar masuk ke Syria.

Seperti yang disaksikan sekarang, keadaan di Syria semakin buruk dan telah melimpah hingga ke Iraq. Pelarian pula membanjiri negara jiran seperti Turki dan Jordan.

Ramai mungkin menyangka selepas Bashar dijatuhkan, pemerintah lain yang mungkin gerakan Islam akan mengambil alih dan keadaan akan pulih, atau mungkin kumpulan-kumpulan Islam akan gigih berperang dan selepas selesai, kumpulan lain yang akan mengambil dan membolot kuasa.

Realitinya, sukar untuk sebuah negara dilanda perang dapat kembali kekal aman. Inilah yang berlaku di Iraq dan Afghanistan.

Akhirnya, konflik bersenjata di Syria hanya memburukkan lagi keadaan. Ramai yang mati. Ratusan ribu hilang tempat tinggal, kanak-kanak hilang peluang untuk mendapat pendidikan, dan Syria yang selama ini menjadi salah satu destinasi tujuan umat Islam untuk menuntut ilmu semakin tidak selamat.

Penentangan bersenjata di Syria telah terbukti menjerumuskan negara itu ke dalam kancah yang membinasakan, sedangkan penentangan bersenjata bukan satu-satunya pilihan yang ada.

Akhirnya, suasana perang di sana menyuburkan sikap dan sentimen oportunis, ektremisme dan perebutan kuasa dalam kalangan kumpulan-kumpulan bersenjata, yang didorong oleh pihak asing yang memberikan sokongan dalam bentuk senjata dan politik.

Syria akhirnya menjadi medan percaturan kuasa-kuasa luar yang kepentingan mereka membelakangi kepentingan rakyat tempatan.

Inilah kesan akibat perjuangan bersenjata yang disertai oleh Lotfi dan ramai lagi dari Malaysia dan seluruh dunia.

PAS pula, yang bergiat dalam medan politik Malaysia, turut merasai kesannya kerana dikaitkan dengan imej militan dan terorisme.

Selepas peristiwa serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat, perkembangan semasa menunjukkan tanda-tanda isu militan dimainkan sekali lagi dan dipalitkan kepada PAS.

Umno dan sekutunya bakal mendapat manfaat daripada isu ini apabila PAS terpalit dengan imej militan dan teroris, pada masa sama ia sedang berusaha untuk melaksanakan hukum syariah yang turut mengandungi hukum hudud yang menjadi perhatian ramai.

Ini dapat diperhatikan melalui tindakan memberi liputan berterusan kepada isu militan oleh akhbar-akhbar Utusan Malaysia dan Star, dan kaitan dengan PAS telah pun dibuat melalui laporan penglibatan Lotfi.

PAS tidak dapat menjangka bagaimana reaksi dan persepsi orang ramai yang membaca laporan ini, tetapi satu kemungkinan ialah mengaitkan kecenderungan militan dengan PAS.

Penglibatan seorang ahli PAS dengan kegiatan militan akan mendedahkan parti dengan implikasi yang mendedahkan parti kepada risiko yang mungkin tidak dapat dijangka.

Parti tidak mengiktiraf tindakan mengangkat senjata, kerana PAS terlibat dengan politik dengan cara aman melalui sistem yang diamalkan di negara ini.

Penglibatan seorang ahli dan diketahui umum bakal menarik yang lain untuk bersama mengangkat senjata di negara-negara berkonflik dengan alasan berjihad.

PAS perlu menegaskan pendiriannya berhubung konflik tersebut dan berhubung penglibatan ahli dalam perjuangan bersenjata di sana.

PAS, seperti yang dijelaskan melalui penerangan presiden parti, mempunyai sudut pandang dan bacaan tersendiri terhadap konflik di Syria yang kini telah merebak ke Iraq, berdasarkan maklumat dan penilaian yang sahih.

Tindakan PAS sama sekali bukan kerana ahli tersebut terlibat menghantar bantuan kepada rakyat Syria, tetapi kerana terlibat dalam mengangkat senjata dan mendedahkan PAS kepada satu fitnah.- HARAKAHDAILY, 7/7/2014