Tuesday, July 8, 2014

Solat dua imam kerana tarekat Tarjani


KUALA LUMPUR: Kejadian solat dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti di Kelantan dipercayai berpunca daripada sebuah buku yang dipegang oleh pengikut ajaran Tarekat Tarjani di situ, yang kandungannya didakwa bercanggah dengan ajaran Islam. 
    
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar)berkata, hasil perbincangan antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bersama kumpulan ajaran tarekat tersebut mendapati para penduduk enggan mengikuti solat berjemaah oleh kumpulan itu sehingga mereka membentuk jemaah solat baharu.  
    
"Pihak Maik mendapati kumpulan tersebut menggunakan sebuah buku yang kandungannya bercanggah dengan ajaran Islam dan jemaah ulama telah pun melarang penggunaan buku tersebut," katanya semasa dihubungi Bernama semalam. 
    
Sebuah akhbar harian tempatan semalam melaporkan terdapat dua saf ketika solat fardhu dan tarawih di Masjid Pondok Banggol Stol, sejak 3 Julai lepas.  
    
Akhbar tersebut dipetik melaporkan, perbezaan fahaman agama Islam ini membawa percanggahan pendapat seterusnya berlaku kejadian perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika menunaikan solat. 

Perebutan saf hadapan ini menyebabkan sekumpulan jemaah yang lain solat di belakang jemaah pertama.
    
Walau bagaimanapun katanya, perkara ini diserahkan kepada Maik dan pihak yang berkaitan untuk siasatan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
    
Mohamad Shukri berkata, kejadian solat dua imam serentak dalam satu masjid tidak sepatutnya berlaku apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.
    
Katanya, bulan Ramadan sepatutnya menjadi platform untuk umat Islam bersatu dan bukannya menimbulkan perpecahan sehingga membawa kepada kejadian ini. 
    
Tindakan para penduduk di situ juga dilihat terlalu mengikut emosi sehingga sanggup melanggar hukum agama. - Bernama