Sunday, July 27, 2014

Terang bulan di lorong belakang


SAYA gagahi semangat pada hari terakhir Ramadhan 1435H untuk mencatatkan sesuatu bagi dikongsi bersama pembaca yang budiman. Fokus untuk melihat berdaulatnya Islam di bumi ini harus terus diperkukuh biarpun tatkala Syawal mengundang tiba.

Dukanya jiwa tatkala Ramadhan kian melonggarkan dakapannya wajib diubati segera demi menzahirkan benarnya Allah SWT dalam setiap inci firmannya dalam Al-Quran. Rahmatnya Islam untuk seluruh alam wajib dijelmakan biarpun tidak mampu menandingi gerak kerja baginda Rasul Allah SAW yang tercinta.

Terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyarankan gerak kerja berkebajikan untuk didukung oleh umat Islam. Bahkan berkebajikan itulah antara pintu-pintu membawa umat manusia untuk dekat kepada Islam seterusnya mengabdi diri kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Contoh yang ditampilkan oleh Rasul Allah SAW dan para sahabat baginda mengajar kita peri perlunya gerak kerja berkebajikan itu melangkaui batasan masa, tempat dan kepentingan peribadi. Lihat saja bagaimana Rssul Allah SAW berterusan memberi makan kepada seorang yahudi buta yang tidak henti-henti mencaci baginda. Begitu juga bagaimana Saidina Abu Bakr RA setiap hari membekalkan makanan di sebuah rumah si miskin hingga ke akhir hayatnya.

Apa yang jelas kerja-kerja ini bukan mudah tanpa diiringi satu iltizam bersama yang cukup padu. Banyak kisah bagaimana Rasul Allah SAW sentiasa memberi motivasi dan dorongan untuk sahabat-sahabat baginda terus menerus dengan gerak kerja berkebajikan meskipun pada waktu-waktu sukar.

Demikianlah perlu kita sedari terbinanya Islam itu antara lainnya melalui jalan-jalan kasih sayang, saling cakna dan prihatin sesame insan. Berakhirnya Ramadhan 1435H pada hari ini, genaplah tahun keenam usaha-usaha menyantuni mereka yang masyhur disebut penghuni lorong-lorong belakang di sekitar Pejabat Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) setiap kali datangnya Ramadhan.

Tidak sukar untuk kita fahami gerak kerja ini mudah mengundang fitnah. Kadangkala tidak kita jangka bentuk dan rupa tohmah yang datang. Perhati sahajalah pada awal Ramadhan bagaimana seorang ahli jemaah kabinet negara tergamak membuat saranan untuk masyarakat tidak lagi bersedekah dan menderma.

Tidakkah beliau sedar pada ketika ini kita berhadapan dengan himpitan kehidupan yang amat terasa? Apatah lagi pada mereka yang tidak punyai punca pendapatan, hidup melarat yang hanya berbumbungkan langit berlantaikan bumi?

Bukankah kita sering diperingat bahawa kemiskinan itu terlalu hampir dengan kekufuran? Manusia yang merasai himpitan kehidupan sanggup berbuat apa saja demi menyabung nyawa. Bagi yang longgar ikatan iman, pegangan aqidah mudah saja terbang demi menghilangkan kelaparan yang sementara.

Bahkan kesempatan mengenali mereka secara lebih dekat akan lebih memeranjatkan kita. Masalah mereka bukan satu atau dua. Himpitan kehidupan telah menjerumus mereka dalam rantaian masalah dan kecamukan kehidupan yang kadangkala sukar dirungkai.

Justeru, kehadiran kita amat-amatlah dinantikan. Usah tunggu untuk mereka mendatangi kita. Dekatilah mereka dengan perasaan keinsanan sesama manusia dengan sikap tulus kepada Allah SWT.

Mengenangkan apa yang diusahakan oleh wakil-wakil Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan pusat di sekitar Pejabat Agung PAS seharusnya cukup menginsafkan kita. Dengan usaha tanpa henti, mereka yang dulunya terlalu jauh dengan solat kini hadir bersama untuk berjemaah bersama.
Dulu mereka terlalu malu untuk solat bersama kerana tidak pernah miliki pakaian sempurna, kini cukup gembira untuk menyahut seruan bila azan berkemundang di udara.

Bahkan ada anak-anak yang dulunya terbiar di lorong-lorong belakang kini bersama kita membantu melicinkan setiap gerak kerja. Terasa kegembiraan mereka setiap kali bersama atas tali persaudaraan Islam yang suci dan murni.

Pada mereka PAS telah membuka satu sinar baru dalam kehidupan mereka. Apa perasaan kita bila melihat mereka membawa bungkusan makanan yang dihiasi bulan pada setiap petang? Apakah kita mahu berhenti di sini dan membiarkan mereka terus mengharap tanpa ada yang datang?

Usaha-usaha ini sesungguhnya cukup manis meskipun pelbagai kesulitan dan kesukaran perlu ditempuh. Namun kita yakin dengan apa yang disarankan dalam Al-Quran, dengan bahu membahu saling bertolongan, bantuan dari Allah pasti datang. Terima kasih kepada semua yang memungkinkan kami meneruskan usaha-usaha ini.

Selamat hari raya Idul Fitri, maaf zahir dan batin dari kami, Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat. Semoga Allah menerima setiap amalan kita sebagai amal soleh.

No comments: