Tuesday, August 12, 2014

Berbalah Hanya Merugikan Diri Sendiri


SAYA kira catatan saya ini adalah luahan hati rakyat bawahan dan aktivis Pakatan Rakyat yang terlalu mengimpikan Malaysia baru bersama Pakatan Rakyat. Sesungguhnya kami hanya mampu melakukan suatu yang amat terbatas dalam mengharapkan penyelesaian krisis yang ada pada hari ini.

Kadang kala kami merasakan bahawa harapan kami kepada Pakatan Rakyat tidak pernah didengari dan difahami oleh sekian pimpinan yang bertelagah. Kiranya tidak salah untuk saya mengungkapkan pertelagahan yang berlaku kini kerana ia telah terlalu terbuka dan terdedah kepada pengetahuan awam.

Tidak dapat kami bayangkan kesiapsiagaan musuh-musuh Pakatan Rakyat merencana sesuatu bagai perumpamaan “menangguk di air yang keruh” dengan apa yang berlaku hari ini. Mereka tentunya bersenang-senangan dan menyusun langkah untuk meranapkan sama sekali pakatan tiga parti, PAS, DAP dan PKR.

Perlu disedari bahawa krisis yang berlaku akan meletakkan sama ada Pakatan Rakyat pada tahap dilemahkan atau menjadikan musuh-musuh Pakatan Rakyat diperkuatkan. Ia amat bergantung kepada keupayaan pimpinan Pakatan Rakyat menguruskan krisis secara bijaksana dalam masa yang cukup kritikal.

Apatah lagi krisis ini sama ada diakui atau tidak telah mencalarkan kepercayaan rakyat kepada parti-parti gabungan dalam pakatan. Mungkin agaknya pimpinan yang bertelagah lupa derita kebanyakan rakyat pada hari ini.

Bagaimana kami aktivis berhadapan dengan pelbagai aduan rakyat dalam suasana fokus pimpinan terlalu terarah kepada krisis yang belum tentu penghujung dan jatuhnya di mana?

Saban masa kami diajukan persoalan tentang kemiskinan rakyat yang bagai tiada kesudahan. Rumah kecil yang didiami lebih dari satu keluarga yang selalu bocor di kala hujan. Siapa yang sedia membina dasar yang lebih tuntas untuk pembangunan OKU yang menyeluruh? Dan pelbagai lagi persoalan rakyat yang perlu kami dengari sebagai aktivis yang tidak putus-putus mencanang bahawa Pakatan Rakyatlah tempat disandarkan harapan untuk suatu perubahan.

Sehingga ke saat ini, kami terus tercari-cari di mana lagi kebijaksanaan pimpinan yang bertelagah mencari titik penyelesaian. Apakah kita bersedia membuang keangkuhan diri yang ada untuk duduk lendik bersama, bersepakat kembalikan kestabilan untuk meraih keyakinan rakyat?

Pesanan akhir saya kepada seluruh pimpinan Pakatan Rakyat, kalaupun kalian tidak merasai lukanya rakyat, kami yang mendokong ketiga-tiga parti dalam pakatan kini telah cukup terguris dengan pertelagahan yang dicipta. – HARAKAHDAILY 12/8/2014

No comments: