Sunday, August 10, 2014

Gesaan boikot Israel melalui 'Kuasa Rakyat'


KUALA LUMPUR: Langkah untuk memboikot, melucut dan mengenakan sekatan (BDS) ke atas Israel kerana penindasannya terhadap rakyat Palestin bukan sahaja berkaitan ekonomi, malah ia wajar dilakukan secara moral dan etika, kata pengerusi Viva Palestina Malaysia Datuk Dr Musa Mohd Nordin.
    
Beliau berkata BDS Israel ialah gesaan untuk menghentikan taktik buli Israel melalui cara aman dan tanpa keganasan.
    
"Kami menggesa anda menjadi sebahagian daripada pergerakan global, sebahagian daripada kuasa baharu dikenali sebagai Kuasa Rakyat. Kami menggesa anda supaya memboikot Israel," katanya dalam kenyataan malam ini.
    
Musa berkata masyarakat tidak harus melakukan kesilapan dengan tidak berbuat apa-apa kerana semata-mata menyangka mereka hanya dapat melakukan sedikit.
    
"Marilah kita bertindak, masing-masing dalam lingkungan pengaruh kita untuk memberi kesan. Kita memboikot kerana ia langkah yang wajar dilakukan secara moral dan etika," kata beliau.
    
BDS, kumpulan pelobi global yang berkempen untuk menghukum Israel kerana pendudukan berterusan terhadap wilayah Palestin, dilaporkan telah memperoleh sokongan yang belum pernah terjadi sejak beberapa minggu kebelakangan.
    
Ini susulan gerakan terbaharu oleh tentera Israel di Gaza yang mengorbankan lebih 2,000 rakyat Palestin, kebanyakan orang awam dan mencetuskan kecaman di seluruh dunia. - Bernama

No comments: