Friday, August 29, 2014

Kenyataan Khalid tidak relevan

  • Razman ZakariaRazman Zakaria
 1 / 1 
IPOH – Kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang mencabar anggota parti yang tidak setuju dengan PR keluar disifatkan sebagai tidak relevan.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, kenyataan itu bukan keputusan parti dan anggota parti di negeri itu tidak perlu terkesan dengan kenyataan Khalid itu.

“Kedudukan bersama PR diputuskan dalam muktamar, persidangan agung Majlis Tertinggi dalam hierarki pembuat keputusan dalam Pas dan dipersetujui Majlis Syura Ulama.


“Kita bersama dalam PR atas konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) berteraskan kepada konsep bersetuju di atas perkara yang tidak dipersetujui,” katanya, semalam.

Sementara itu, di SHAH ALAM, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Arshad berkata, kenyataan tidak munasabah kerana anggota parti yang menolak tahaluf siyasi boleh mengusulkan cadangan penambahbaikan dalam muktamar parti.

“Selepas mendapat keputusan dalam perbincangan di muktamar, Pas Pusat boleh saja membatalkan tahaluf siyasi jika ia tidak relevan dan membebankan parti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika ada individu tidak bersetuju dengan tahaluf siyasi, ia boleh saja dirujuk dalam muktamar Pas bagi dikaji semula.

“Kita ada banyak ruang bagi ahli dan pemimpin tertinggi Pas untuk berbincang, termasuk mengenai perihal hala tuju parti.

“Justeru, tidak perlu tindakan drastik sehingga keluar parti atau meletakkan jawatan jika tidak bersetuju dengan tahaluf siyasi,” katanya.

No comments: