Thursday, August 21, 2014

Peluang PAS Jadi MB Selangor

  • SivamuruganSivamurugan
 1 / 1 
Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad layak dilantik Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, Pas boleh mencadangkan nama Iskandar jika Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak dua calon dari PKR dan mahu Pas memberi calon dari parti itu.

“Jika itu yang terjadi, Pas boleh cadangkan Iskandar kerana beliau sememangnya layak, ada pengalaman luas dan dilihat mampu menerajui Selangor.

“Iskandar juga ahli Exco. Saya yakin dengan kelebihan itu Iskandar mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu di Selangor,” katanya mengulas situasi jika Sultan Selangor menolak calon dicadang PKR dan mahu Pas menamakan calon lain daripada parti mereka.

Katanya, jika Sultan Selangor mahukan calon MB seorang wanita, Pas boleh cadangkan nama Dr Halimah yang dilihat mampu menggalas tanggungjawab negeri itu.

“Dr Halimah juga ada kelebihannya tersendiri dan memiliki pengalaman luas selain ahli Exco Negeri,” katanya.

Namun, beliau berkata, jika perkara itu diramalkan berlaku, timbul persoalan adakah DAP dan PKR boleh menerima dan bersetuju Dr Wan Azizah digugurkan.

“Saya kurang yakin PKR boleh merestui dua calon Pas itu, selain daripada dua calon tersebut dan ia boleh mengeruhkan lagi keadaan sedia ada. Namun begitu, kata putus adalah Istana Selangor yang sebenarnya memiliki kuasa pelantikan seseorang MB,” katanya.

Menurutnya, Pas perlu meyakinkan PKR dan DAP dengan parti itu mengangkat Iskandar dan Dr Halimah bagi menyelesaikan krisis yang berlaku di Selangor.

Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, jika Sultan Selangor memutuskan demikian, PKR terpaksa akur dan beri sokongan kepada calon Pas untuk menduduki kerusi MB Selangor.

Katanya, Iskandar mungkin individu yang layak menggantikan Abdul Khalid, namun terpulang kepada Pas untuk menentukan siapa yang layak dan berkaliber.

Beliau bagaimanapun, tidak bersetuju dengan calon wanita diangkat sebagai MB Selangor kerana banyak kekangan terutamanya daripada aspek keagamaan.

“Pada pandangan saya lebih baik utamakan calon lelaki, tetapi kalau Sultan Selangor perkenan dan mengangkat calon wanita sebagai MB, kita semua akan akur,” katanya.

No comments: