Tuesday, August 5, 2014

PM wajar panggil MCA sertai kelas warisan negara


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan MCA tidak mengenali warisan negara apabila mengkritik Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz kerana menyokong Kerajaan Pulau Pinang yang melarang warga asing menjadi tukang masak di warung dan gerai makan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata sokongan diberikan Nazri merupakan satu permulaan baik dalam memastikan warisan negara dalam masakan tradisional terus dipertahankan.

"Kita harap Perdana Menteri dapat memanggil MCA untuk sertai kelas bagi mengenali warisan-warisan negara terutamanya melibatkan masakan tradisional..

"PAS menyokong dan menyambut baik apa yang dicadangkan Lim Guan Eng bagi memastikan masakan tradisional di warung-warung ini hanya di masak oleh orang tempatan sahaja dan bukan orang asing.

"Kita mahu kesenian masakan mahupun citarasa masakan kita ini lahir dari air tangan rakyat sendiri dan bukan dari orang luar yang tidak tahu kesenian rasa masakan kita," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut memberitahu kritikan MCA itu turut membuktikan mereka tidak menyokong peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Katanya lagi, kritikan MCA itu turut mengambarkan parti itu tidak mempunyai semangat patrotisme dalam mempertahankan warisan kebudayan negara.

"Apabila Nazri menyokong Lim Guan Eng, MCA mengkritik atas dasar perbezaan politik. Ini jelas membuktikan dalam soalan warisan negara ini mereka turut mempolitikannya.

"Dalam bab mempertahankan warisan negara ini, walaupun berbeza fahaman politik kita masih lagi boleh duduk bersama mempertahankannya.

"Tindakan MCA ini amat kita kesali, saya harap MCA dapat belajar apa yang kita pertahankan ini," kata beliau. - HARAKAHDAILY 

No comments: