Tuesday, August 26, 2014

Saman PAS: Mahkamah tolak rayuan MPK



PUTRAJAYA: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman malu RM5 juta yang dikemukakannya terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berhubung isu Zoo Bukit Takal di Terengganu.

Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara menolak rayuan MPK itu dan memerintahnya membayar kos guaman RM10,000 kepada PAS.

Dalam keputusannya, Zaharah berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul apabila menolak tuntutan sivil MPK.

Zaharah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Hakim Datuk Mah Weng Kwai, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Feb lepas, yang menolak saman MPK itu.

Pada 22 Mac tahun lepas, MPK memfailkan saman terhadap PAS dan menuntut ganti rugi RM5 juta daripada parti itu, yang didakwanya mengedar risalah mengandungi perkataan tidak benar dan fitnah berkaitan isu Zoo Bukit Takal.

Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PAS untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar yang dikemukakan terhadap parti itu kerana gagal hadir di mahkamah walaupun diperintah berbuat demikian.

Dalam saman itu, MPK mendakwa ia tidak pernah dihubungi PAS bagi mendapatkan komen tentang isu Zoo Bukit Takal Zoo sebelum parti itu menerbitkan dan mengedar risalah mengenainya.

MPK diwakili peguam Azwan Abdul Wahab manakala PAS oleh peguam Noorazmir Zakaria, yang juga pengarah Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia sayap Pemuda parti itu. 

No comments: