Sunday, August 31, 2014

Tak semestinya rakyat tempatan


  • PRK Pengkalan Kubor
 1 / 1 
BACHOK - Calon disenangi rakyat serta mampu membawa kemenangan kepada Umno dan BN menjadi keutamaan parti itu untuk diketengahkan pada PRK Dun Pengkalan Kubor penghujung September ini.

Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, calon juga tidak terbatas kepada rakyat tempatan sebaliknya mampu meneruskan legasi bekas penyandangnya, Allahyarham Noor Zahidi Omar.

“Calon bakal diketengahkan pastinya seorang yang dekat dengan rakyat dan boleh membawa kemenangan kepada Umno dan BN, tak kira daripada mana.


“Bagaimanapun buat waktu ini, parti belum memutuskan senarai calon yang akan bertanding dan menunggu keputusan pucuk pimpinan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika hadir merasmikan Sambutan Ambang Merdeka Kelantan Off Road Beach Challenge di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Datuk Makhtar Mustapa.

Menurutnya, walaupun sehingga ini Umno dan BN belum menamakan mana-mana calon, namun parti itu masih mempunyai masa untuk menentukan calon yang mampu meneruskan perjuangan Noor Zahidi dan parti di kawasan berkenaan.

“Jentera parti di peringkat akar umbi sudah bersedia dengan mengerakkan jentera dan melaksanakan kerja dalam satu pasukan yang kuat dalam membuat persiapan terbaik bagi menghadapi PRK berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa menafikan dakwaan Umno dan BN tidak mempunyai calon berwibawa sebaliknya mengakui sedang mendapatkan calon terbaik.

SPR Jumaat lalu menetapkan 13 September sebagai hari penamaan calon PRK Dun Pengkalan Kubor manakala 25 September tarikh membuang undi.

No comments: