PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap bersemangat menjalankan tugasnya seperti biasa, malah lebih giat dari kebiasaannya. Pelbagai masalah dan isu yang menjejaskan kehidupan rakyat di Selangor telah dan sedang diatasi walaupun beliau sedang menghadapi pelbagai fitnah, tuduhan, kecaman, tekanan dan desakan untuk mundur dari jawatan yang disandangnya, termasuk surat tunjuk sebab dari partinya sendiri.
Contohnya masalah sampah di Kajang yang sekian lama menghantui rakyat telah berhasil diselesaikan semalam dengan perlantikan kotraktor pemindahan longgokan sampah untuk memindahkan 30 tan sampah dari Semenyih ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung 12. Longgokan sampah ini adalah punca kenapa sampah di sekitar Kajang gagal di pungut dan menyebabkan rungutan berpanjangan dari penduduk.
Di samping itu, Khalid juga berhasil menyelesaikan serta melantik pemaju untuk pembinaan Perumahan Mampu Milik atau Rumah SelangorKu di Hulu Kelang dimana 2,496 unit direncanakan untuk di bina bermula awal Oktober ini dan di jangka siap dalam masa 6 tahun. Fasa 1 dijadualkan siap untuk di huni pada hujung 2016. Projek ini adalah antara usaha dan komitmen kerajaan Selangor untuk menyediakan perumahan kepada semua rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, dan Khalid telah melaksanakannya.
Khalid jamin tiada catuan air
Khalid semalam sekali lagi memberi jaminan tiada catuan air berjadual akan dilaksanakan di negeri itu walaupun paras semasa empangan Sungai Selangor tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Beliau berkata jawatankuasa pemantau yang turut dianggotai wakil dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sentiasa melihat perkembangan semasa ini sebagai langkah memastikan bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan kepada pengguna.
“Tiada catuan akan dilaksanakan buat masa ini kerana kita sedang merancang langkah perlu untuk mengekalkan keadaan semasa paras air seperti sekarang untuk sekurang-kurangnya sebulan berdasarkan perkiraan kami,” katanya di Shah Alam.
Menurut statistik laman web Lembaga Urus Air Selangor www.iwrims.luas.gov.my setakat pukul 8 pagi semalam, paras air di dua empangan yang masih di bawah paras minimum ialah Sungai Selangor (32.48%) dan Sungai Tinggi (45.62%).
Empangan Sungai Selangor merupakan empangan utama yang membekalkan 60% sumber air kepada rakyat di negeri itu.
Sementara itu, enam lagi empangan menunjukkan peratusan melebihi paras minimum iaitu empangan Batu (81.75%), empangan Klang Gates (69.87%), Kolam Takungan Sungai Labu (56.9%), Langat (62.45%), Semenyih (75.3%), dan empangan Tasik Subang (65.47%).
Pada Jumaat lepas, Khalid menyatakan pihaknya tidak akan melaksanakan catuan berjadual buat masa sekarang bagi mengimbangi bekalan air di beberapa buah kawasan ekoran musim kering melampau ketika ini. – Bernama
No comments:
Post a Comment