Monday, August 4, 2014

Usaha selesai masalah BN Sarawak

SIBU - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem masih mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah dalam Barisan Nasional Sarawak (BN) yang timbul dengan kemunculan parti politik baharu, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Teras dan UPP ditubuhkan masing-masing daripada kesan krisis dalaman kepimpinan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Bercakap di Majlis Sambutan Aidilfitri di sini malam tadi, beliau berkata, tidak diragukan kemunculan Teras dan UPP memberi kesan kepada perpaduan dan kekuatan BN.

"Parti pembangkang merasa seronok dan mungkin akan dapat kelebihan, tetapi saya sedang berusaha mendapatkan penyelesaian.

Saya tidak boleh menyelesaikan masalah itu serta-merta. Beri saya masa, mungkin setahun atau dua tahun untuk melakukannya," katanya.

Teras dan UPP masih belum diterima ke dalam BN. Teras diketuai Tan Sri William Mawan, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan bekas Presiden SPDP, sementara UPP diterajui Datuk Seri Wong Soon Koh, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dan bekas Penolong Setiausaha Agung SUPP.

Mengenai barisan kabinet negeri sekarang, Adenan berkata beliau akan mengekalkannya termasuk Mawan dan Wong.

"Saya mahukan sebuah kerajaan yang inklusif dan bukannya ekslusif. Ini adalah polisi untuk kami maju dan makmur," katanya. - Bernama

No comments: