Friday, September 19, 2014

Jangan tabur politik kebencian


  • Naib Presiden Umno merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar-pelajar Sekolah Pondok Simpangan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir di Pengkalan Kubor, hari ini. - Foto BernamaNaib Presiden Umno merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar-pelajar Sekolah Pondok Simpangan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir di Pengkalan Kubor, hari ini. - Foto Bernama
 1 / 1 
TUMPAT - Jentera BN bagi PRK Dun Pengkalan Kubor diingatkan tidak melakukan politik kebencian semasa berkempen.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbuatan menanam kebencian dalam kalangan pengundi hanya akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat selepas pilihan raya kecil berakhir.

"Politik kebencian tidak membantu kerana yang buat pilihan pada akhirnya adalah pengundi. Jentera kempen akan pulang, bayangkan apa yang berlaku jika berlaku perpecahan.


"Tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen sebelum hari pengundian dan saya harap kempen berjalan dengan sihat," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 300 penduduk di Masjid Mukim Simpangan, di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan turut melawat sekolah pondok Simpangan yang diasaskan calon BN, Mat Razi Mat Ail dan berjanji akan memberi sumbangan sebanyak RM50,000 untuk tujuan pembangunan sekolah itu.

Beliau turut memuji cara berkempen Mat Razi yang menggunakan pendekatan secara lembut dan tidak menyerang pihak lawan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

"Bila tengok calon kita tenang (dalam menghadapi fitnah)... itu semangat yang kita nak tengok dalam pilihan raya kecil (ini). Cukup-cukuplah peperangan, pembunuhan (di negara luar). Ini cara orang Islam bawa diri masa kini.

"Jangan ingat apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil ini tak memberi kesan kepada dunia global yang kompleks ini," kata Hishammuddin. 

Semalam, Mat Razi dilaporkan kesal kerana Pas sentiasa menyerang peribadi beliau dan melempar fitnah terhadapnya dengan mendakwa kononnya beliau  mempunyai kekasih gelap dan akan mendedahkan siapakah wanita itu.

Mengulas mengenai isu royalti yang dimainkan Pas dalam setiap ceramah, Hishammuddin berkata ia adalah taktik lapuk parti itu untuk meraih undi yang sekali gus dilihat cuba menanam kebencian kepada kerajaan pusat.

"Isu yang dibawa adalah lama, cuma dari sudut yang berbeza. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dah meramalkan perkara ini akan dibangkit, sebab itu dia (Pas) pusing (isu royalti).

"Orang ramai bukan bodoh untuk terikut-ikut dengan helah pembangkang, (tetapi) orang ramai nak wakil yang boleh buat kerja," kata Hishammuddin.

PRK pada 25 September ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada PRU13 lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama

No comments: