Thursday, September 18, 2014

“Kebergantungan Melayu” hanyalah senjata politik

UMNO PAS Melayu
Setiap kali pilihan raya, kumpulan ultra-Melayu akan selalu mengumandangkan kejahatan pihak-pihak tertentu – biasanya merujuk kepada DAP dan golongan ‘liberal’ – bahawa mereka akan sentiasa menggugat struktur perlembagaan negara dan menghakis hak-hak istimewa Melayu dan Islam.

Kumpulan-kumpulan ini, baru-baru ini terutamanya, kononnya berjaya membuktikan bahawa seolah-olah DAP seperti berjaya “memperkudakan” PAS dalam Pakatan apabila DAP berjaya menambah kerusi Parlimen dengan signifikan pada PRU 13 manakala PAS pula menurun bilangan kerusi; Pakatan kini katanya menjadi alat untuk DAP memperluas ‘pengaruh’ dan ‘kuasanya’ untuk “merosakkan” struktur asas Perlembagaan dan seterusnya merampas hak-hak Melayu dan Islam. Sementara itu kata mereka lagi, PAS hanya mampu melihat sahaja.

Kebetulan pula berlaku krisis MB Selangor, isu ini juga dijadikan batu api untuk mengatakan bahawa kononnya PAS diketepikan sepenuhnya oleh parti lain dalam Pakatan. Penanggukan di air yang keruh ini sangatlah jelas.
Namun pada masa yang sama juga kumpulan-kumpulan ultra-Melayu ini menafikan dengan keras bahawa mereka bukan tali barut UMNO. Kata mereka lagi, tidak lain tidak bukan mereka tidak mahu hak Melayu dan Islam “tergadai” dan tak mahu “chauvinis” bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Namun suka untuk dinyatakan di sini bahawa kumpulan ultra-Melayu ini tidaklah membenci PAS secara keseluruhannya; mereka masih berpendapat PAS perlu diselamatkan daripada tahaluf siyasi yang kini dijatuhkan hukum ‘haram’ pula.
Maka peliklah kita apabila dikatakan DAP kini “makin berkuasa” dan dengan ini hak Melayu akan “terhakis” kerana penguasaanya di Parlimen bertambah.
Siapa lawan siapa sebenarnya?
Hal ini berlaku kerana kegagalan memahami rumus mudah daripada pertandingan yang berlaku pada pilihan raya. Hakikatnya, kebanyakan kerusi yang dimenangi DAP yang bukan Melayu bukanlah hasil daripada menewaskan UMNO, jauh sekali PAS. Mereka kebanyakannya menang mengalahkan parti seperti Gerakan dan MCA. Adakah kumpulan ultra-Melayu ini lupa bahawa betapa MCA dan Gerakan dikritik teruk atas prestasi mereka tempoh hari?
Selain itu, MCA juga bukan sahaja dikalahkan oleh DAP, malah juga dikalahkan calon Melayu seperti yang terjadi di DUN Bandar, Terengganu dan Parlimen Pandan. Sebaliknya kerusi itu berjaya diduduki orang Melayu pula!
Malah jika mereka takutkan PAS ‘diperkuda” “Cina chauvinis” DAP yang kini katanya “menguasai Pakatan” dan menyebabkan PAS jadi “pak turut”, mengapa tidak berkempen agar lebih ramai orang mengundi PAS dan mengalahkan UMNO (kebanyakannya) agar PAS mempunyai kedudukan yang kukuh dalam Pakatan? Mengapa mesti berlaga dengan PAS tatkala PAS yang mereka sayangi itu bergelut melawan kezaliman?
Akhirnya, bila PAS kalah tatkala UMNO mengumandangkan lagu hak istimewa Melayu, mereka nyanyi bersama. Kemudian, kaum dan parti lain dalam Pakatan pula dikambing hitamkan.
Isu sebenar di sebalik keputusan PRU 13; polarisasi kaum mengikut undi
Boleh dikatakan kumpulan-kumpulan ultra-Melayu ini dikaburkan daripada isu sebenar yang digambarkan daripada keputusan PRU lalu.
Tidak, keputusan tempoh hari bukanlah menggambarkan betapa kini “Cina berkuasa” dan mampu “merampas kuasa” daripada orang Melayu.
Hal sebenar yang perlu diambil serius ialah sebagaimana yang disuarakan oleh Datuk Seri Najib Razak sendiri usai keputusan PRU lalu iaitu berlakunya polarisasi kaum di sini.
Mungkin ramai yang kurang jelas akan mesej ini lagi-lagi apabila dikaburi dengan frasa “Tsunami Cina” dan laporan Utusan bertajuk “Apa Lagi Cina Mahu?”. Maka perlulah rasanya di sini kita mempermudah maksud sebenar yang ingin dikatakan oleh Perdana Menteri kita; Melayu memihak pada BN dan ‘Bukan Melayu’ memihak pada Pakatan.
Sebenarnya kenyataan inilah yang lebih tepat untuk menggambarkan situasi sebenar yang terjadi. Betapa kini lebih ramai Melayu berjaya diacah-acah sampai takut benar akan kehilangan hak istimewa seolah-olah Malaysia ini negara tanpa proses perundangan yang berdaulat hingga struktur asas negara boleh musnah begitu sahaja.
Hal ini juga menampakkan betapa hari itu kempen “hak Melayu” UMNO menunjukkan kejayaan yang hebat hasil bantuan kumpulan-kumpulan ultra-Melayu sama ada mereka sedar, tidak sedar mahupun buat-buat tidak sedar.
Untuk makluman juga, salah satu kumpulan ini juga hakikatnya giat menjalankan dakwah dan islah masyarakat seluruh pelosok Malaysia. Maka kumpulan yang giat melaksanakan dakwah ini dan berasa izzah dengan ketinggian Islam ini haru menilai kembali; adakah pembahagian kaum mengikut kerajaan dan pembangkang akan lebih mengharmonikan situasi hubungan antara Muslim dengan bukan Islam? Adakah situasi ini memberi suasana kondusif kepada penyebaran dakwah atau mesej Islam itu sendiri?
Kita jangan lupa bahawa permainan “hak Melayu” ini bukanlah baharu dan tidak lain tidak bukan digunakan oleh banyak pihak untuk sekadar mengekalkan kedudukan. Akhirnya korupsi, kronisme dan penyalahgunaan berkuasa terus berleluasa atas nama “mengutamakan Bumiputera”. Kita pula apabila Bumiputera yang jadi kroni, kita pun kata “tak apalah, orang kita juga! Buat apa nak dengki?”
Tanyalah soalan ini sama-sama; selama 51 tahun memerintah Malaysia dengan melaungkan ingin mempertahan hak dan memperkasa ekonomi Melayu, berapa peratus ekonomi dikuasai Melayu? Adakah itu salah DAP “chauvinis” (dan MCA, jika mahu)?
Penulis ialah ahli Sekretariat Politik IKRAM Siswa Nasional

No comments: