Thursday, September 18, 2014

Konflik dalaman PAS: Menang jadi arang



BEBERAPA minggu lalu, Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Sabah, Hamzah Abdullah menelefon saya bertanyakan liputan secara langsung persidangan Muktamar Tahunan PAS di Johor. Daripada nada perbualannya, saya hampir pasti beliau dalam keadaan gusar dan bimbang.

"Kalau boleh, muktamar kali ini tidak perlulah disiarkan live melalui TV internet," tambah Hamzah. Alasannya, kemungkinan semasa perbahasan timbul hal-hal sensitif yang boleh dieksploitasi bagi memburuk-burukkan PAS.

Segera saya teringat siaran langsung persidangan Umno pada zaman Abdullah Ahmad Badawi, melalui Astro. Ia mendedahkan sikap perkauman melampau perwakilan semasa perbahasan, yang mengakibatkan kebencian masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina, kepada Umno. Petunjuk jelasnya adalah penolakan total pengundi Tionghua terhadap BN semasa PRU12.

Situasi ketika Hamzah membuat cadangan tersebut tidaklah sesulit apa yang berlaku hari ini. Krisis dalaman parti - sama ada mahu mengakuinya ataupun tidak - bertambah serius, sekurang-kurangnya begitulah persepsi sebahagian besar masyarakat.

Sebagai pengamal media yang prihatin dengan prinsip kebebasan bersuara dan hak mendapatkan maklumat, saya tidak begitu cenderung untuk menyekat rakan-rakan wartawan daripada membuat laporan perjalanan muktamar.

Dan kita jangan mudah menempelak media, termasuk yang dikawal mutlak elit pemerintah, apabila mereka menyiarkan sisi-sisi negatif yang boleh dimanfaatkan Umno-BN untuk menyerang seteru politik tradisi, PAS.

Sewajarnya para perwakilan dan pemimpin parti menyedari bahawa aksi dan gelagat mereka sedang ditonton, diperhati dan dihakimi oleh orang ramai. Usah terlalu beremosi dan mengikut perasaan ketika berbahas. Fikirlah, apakah ia menjurus kepada kebaikan ataupun mengundang bencana. Justeru, sebarang perlakuan yang boleh membawa natijah buruk kepada imej jamaah elok dihindari sedaya mungkin.  

Ya, jagalah adab berbahas, terutama ketika menyanggah pandangan pihak lain, atau mengkritik pemimpin. Walaupun muktamar merupakan gelanggang paling sesuai untuk berdebat, malah ia diiktiraf sebagai memegang kuasa tertinggi parti. Jadi, pilihlah pendekatan yang lebih "cantik dan sopan".

"Ini bukan muktamar biasa. Tanpa pemilihan jawatan tertinggi, ia tetap lebih panas, Isu MB Selangor bukan hanya berlegar sekitar mencari pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi menyerlahkan masalah dalaman parti yang agak membarah, khususnya sejak 2008," kata seorang penganalisis politik, yang turut bimbang suasana muktamar di Batu Pahat boleh merendahkan lagi imej PAS.

"Adakah saudara setuju media dihalang membuat liputan langsung?" tanya saya.

"Saya bimbang rakaman video sahaja, tidak laporan bertulis," tambahnya. "Tapi kita juga harus akui bahawa muktamar perlu sediakan ruang selesa untuk ahli atau pemimpin akar umbi menyuarakan pendapat secara langsung. Biar pemimpin tertinggi pula yang mendengar ...," katanya.

"Sekarang zaman langit terbuka dan muktamar ini menjadi tumpuan ramai. Masyarakat bijak menilai. Biarkanlah mereka menyaksikan kematangan kita berbahas. Anehnya, ada program tertutup parti, ya, memang eksklusif untuk perbincangan dalaman, tetapi ada orang dalam sendiri yang menyebarkan rakaman video dan siap dengan transkripnya sekali kepada media," seorang rakan saya mengulas.

Semasa  menyiapkan catatan ini, jam 3.30 pagi Rabu, 17 September, saya masih terganggu dengan insiden pada sebelah petang dan malam Selasa, dalam muktamar Pemuda PAS Malaysia di Kota Tinggi. 

Ia merujuk aksi keluar dewan semasa Timbalan Presiden menyampaikan ucapan perasmian dan ketegangan isu kesahihan pemilihan kepimpinan Pemuda tahun 2013 sehingga menyebabkan Pengerusi Tetap dikejarkan ke hospital.

"Ini petunjuk negatif yang mungkin berjangkit dalam muktamar penuh Khamis ini, atau mungkin lebih awal lagi, iaitu esok, Rabu," telah seorang wartawan yang berada di dalam dewan persidangan.

Sekali lagi saya teringat pesanan seorang veteran PAS: "Janganlah keadaan selepas melalui krisis ini umpama yang menang jadi arang, dan yang kalah jadi abu. Bukan mudah nak pulihkan tanggapan orang ramai selepas kita tidak dipercayai lagi." 

Dan semasa menyiapkan bahan untuk Fikrah khas sempena muktamar, tiga tokoh akademik yang saya pelawa untuk menulis atau diwawacara, mengelak. 

"Kalau mahu interbiu saya, sedia tak mendengar kritikan terhadap cara PAS mengendalikan krisis MB Selangor? PAS bukan lagi parti masa depan tempat rakyat bergantung harap," tegas seorang pensyarah dengan nada serius.

Rakannya turut memberi komentar hampir sama. "Masyarakat bukan Islam keliru melihat parti yang mereka sokong dalam PRU13 berkecamuk begitu sekali."

Mendengar celoteh mereka saya mengambil keputusan untuk membatalkan hasrat awal itu. Sekurang-kurangnya, kalaupun Harakah tidak dapat menunjukkan jalan keluar, jangan pula menyebabkan konflik yang ada makin berserabut.

Pandangan orang luar mungkin salah atau tersasar, namun bukankah dalam politik, persepsi adalah segalanya? 

Malah semasa kami cukup berhati-hati menimbangkan bahan sesuai untuk dicetak, Harakah tetap menjadi sasaran pengkritik. 

Setinggi-tinggi dipanjatkan doa agar kemelut ini dipermudahkan jalan keluarnya. 

Namun, harus diingat, walaupun musuh PAS - Pakatan turut merencanakan agar dalaman parti atau sesama sekutu bertelagah dan berpisah - termasuk media yang secara tradisinya memilih "buah yang busuk" untuk dijadikan bahan berita - punca sebenar isu ini sukar diselesaikan adalah berpunca daripada kita sendiri. –HARAKAHDAILY 18/9/2014

No comments: