Friday, September 12, 2014

Kuasa eksekutif Abdul Khalid masih sah

  • Laporan Sinar Harian, semalam.Laporan Sinar Harian, semalam.
 1 / 1 
SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih Menteri Besar Selangor yang sah dan berhak menjalankan tugas seperti biasa, kata Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, selama mana Sultan Selangor masih berkenan melantik Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dan pelantikan itu selaras dengan peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, maka Abdul Khalid masih lagi boleh menjalankan tugasnya.

“Soal ketidaksahihan apa-apa tindakan atau keputusan dibuat Menteri Besar Selangor berkaitan dengan apa-apa perkara, termasuk kapasiti menandatangani perjanjian air bagi pihak kerajaan Selangor dengan Kerajaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.


"Ini memandangkan tindakan-tindakan ini masih dalam lingkungan bidang kuasa eksekutif menteri besar dan mengikut lunas-lunas perundangan negeri," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Selangor, semalam.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mempertikai kemungkinan perjanjian air yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan tidak sah.

Nik Suhaimi berkata, rundingan serta perbincangan berkaitan perjanjian air masih diteruskan mengikut perancangan.

“Ini selaras dengan Perkara LI(1), Perkara LIII (2) (a) dan (4), serta Perkara LV(2) (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, yang mana Sultan Selangor telah diperuntukkan kuasa budi bicara mutlak di dalam pelantikan seorang Menteri Besar Selangor," katanya.

Menurutnya, keputusan sultan menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan menteri besar baharu wajar dijunjung, demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berjalan lancar dan teratur.

Katanya, kenyataan-kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan, sekiranya dipercayai, berkemungkinan boleh menimbulkan kebimbangan dan kegusaran di kalangan rakyat.

No comments: