TUMPAT: Biarpun pada pilihan raya umum lepas PAS dan Pakatan Rakyat tewas di kebanyakan saluran anak muda di Dun Pengkalan Kubor, namun berdasar perkembangan terakhir nampak perubahan ketara mereka.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, golongan muda rata-ratanya menunjukkan perubahan sikap setelah kempen secara agresif diadakan di sini.
Katanya, Pakatan Rakyat optimis dapat memenangi hati anak-anak muda pada pilihan raya kecil kali ini kerana kesedaran baru sudah berputik.
“Mereka semakin selesa untuk bersama-sama PAS. Ini dapat dilihat berdasar sambutan positif yang diberikan anak muda tempatan setiap program diadakan.
“Tambahan pula mereka sudah bosan dengan janji-janji yang ditaburkan Umno sejak tiga kali memenangi Dun ini,” katanya selepas menghadiri Program Santai Anak Muda di Pantai Geting, Pengkalan Kubur petang semalam.
Fadhli juga mendakwa Umno dan Barisan Nasional hanya membawa program-program 'one-off' dan hiburan semata-mata untuk disajikan kepada anak-anak muda tanpa sebarang pengisian positif.
"Kita mengadakan program santai bersama anak muda iaitu konvoi bermotosikal menjelajah seluruh Dun Pengkalan Kubur sambil mengedarkan risalah.
“Alhamdulillah mendapat sambutan cukup memberangsangkan di setiap perhentian yang kita lalui," ujarnya.
Turut sama hadir Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Kelantan, Razuan Awang Hamat. - HARAKAHDAILY 24/9/2014
No comments:
Post a Comment