Monday, September 1, 2014

Pendidikan gagal satukan kaum di Malaysia?

  • Kok SeongKok Seong
 1 / 1 
SELEPAS 57 tahun Malaysia merdeka, masih banyak cabaran perlu dilalui negara ini terutama dalam aspek perpaduan rakyat berbilang kaum.

Namun, rakyat sendiri perlu mula membuka minda untuk menerima perubahan yang perlu dibuat bagi memperbaiki masyarakat, termasuk dalam sistem pendidikan yang hari ini dilihat menjadi faktor kepada kerenggangan hubungan antara kaum.

Ini diakui Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong yang berpendapat sistem pendidikan negara hari ini dilihat gagal memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia.


Menurutnya, Malaysia berjaya membentuk sebuah negara yang pesat membangun tetapi gagal membentuk negara bangsa.

“Walaupun berjaya membentuk negara namun kita belum berjaya membentuk rakyat yang mempunyai jati diri kebangsaan. Dalam menyemai jati diri ini kita tidak boleh lari daripada mengamalkan sosio budaya Melayu kerana perkara berkenaan telah dipersetujui dalam kontrak sosial.

“Sebagai contoh dalam sesuatu majlis yang dianjurkan orang Melayu, jarang sekali disertai kaum lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi banyak pihak di Malaysia yang masih belum dapat menerima cadangan pembentukan sekolah satu aliran walaupun selepas 57 tahun merdeka.

Kok Seong berkata, masalah perpaduan bermula apabila pelajar gagal menguasai bahasa Melayu di peringkat awal dengan baik.

“Tahap bahasa Melayu yang diajar di sekolah jenis kebangsaan lebih rendah jika dibandingkan dengan sekolah kebangsaan. Jika sekolah jenis kebangsaan ini enggan menerima sukatan pelajaran bahasa Melayu seperti sekolah kebangsaan, maka akan wujud pelajar yang gagal menguasai bahasa ini yang sekali gus mengehadkan komunikasi antara kaum.

“Apabila sampai ke tahap sekolah menengah, pelajar yang gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik akan mengalami masalah dari segi pembelajaran dan komunikasi antara kaum. Jadi tidak hairan sekiranya wujud kelompok mengikut kaum,” katanya.

Menurutnya, cadangan memperkenalkan sekolah satu aliran merupakan satu cadangan bagus bagi memperkukuhkan perpaduan antara kaum yang semakin renggang.

“Sekolah satu aliran merupakan satu sistem yang terbukti berjaya memupuk perpaduan dengan baik kerana bersifat satu acuan dengan hanya satu bahasa digunakan,” katanya.

Ditanya mengenai kesediaan rakyat Malaysia menerima sistem sekolah satu aliran, beliau berkata perkara berkenaan bakal mengambil sedikit masa untuk diterima masyarakat.

“Mungkin untuk orang Melayu sistem persekolahan itu diterima baik. Tetapi berbeza pula dengan orang bukan Melayu kerana jumlah yang menerima (sekolah satu aliran) sangat sedikit.

“Jika kita ambil statistik kaum yang menghantar anak ke sekolah, kebanyakan ibu bapa bukan Melayu lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan," katanya.

Perdebatan terbaharu berhubung sekolah vernakular mula tercetus selepas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Rakyat, Jun lalu, semasa membahaskan Rang Undang-undang Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014.

Menurut Bung Moktar, rakyat pelbagai kaum di Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan Malaysia satu-satunya kerajaan di dunia yang membenarkan kewujudan sekolah vernakular selama ini.

No comments: