Wednesday, September 10, 2014

Pengkalan Kubor: Ujian kesepakatan PAS-PKR


PAS dijangka akan menurunkan calonnya yang terbaik untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Pengkalan Kubor, Kelantan pada 25 September ini di samping memperlihatkan perpaduan dan kekuatannya.
 
PRK ini juga memperlihatkan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat masih utuh meskipun dilanda krisis di Selangor. PKR memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PAS bertanding dalam PRK Pengkalan Kubor kali ini.

"Ini mengambil kira perlunya sesama kita ini bertolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar," kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataannya kelmarin.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 13 September ini. PRK itu diadakan  berhubung kematian wakil rakyat sebelum ini, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati, 20 Ogos lalu.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, (Gambar) berkata penyerahan semula Dun N1 Pengkalan Kubor oleh PKR kepada PAS memberi petanda kekuatan baru Pakatan Rakyat akan bermula.

Penyerahan semula Dun berkenaan kepada PAS setelah dua penggal diberikan kepada calon PKR, ujarnya, telah membangkitkan semula semangat juang PAS untuk memperkukuh Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Kelantan itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada PKR di atas laluan yang diberikan kepada PAS.

Menurutnya, dengan perpaduan yang dicapai bersama melalui PRK Pengkalan Kubor, dengan izin Allah, Dun ini akan dapat diambil semula.

Hari penamaan calon PRK ini pada 13 September ini  iaitu empat hari sebelum berlangsung Muktamar Tahunan PAS di Batu Pahat Johor pada 17, 18 dan 19 September ini. Oleh itu, tentunya PAS berada dalam keadaan paling sibuk.  
Bagaimanapun, jentera operasi pilihan raya PAS yang diketuai oleh bekas Speaker Dun Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sudah mula bergerak di bawah arahan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil terseut.

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubor inii akan berlangsung di tengah-tengah pergolakan politik di Selangor. Bagaimanapun pemerhati poitik melihat pergolakan itu tidak akan tempias hingga ke Kelantan, khususnya di PRK Pengkalan Kubor. Lebih-lebih lagi dengan ikrar PKR untuk memberikan kerjasama penuh kepada jentera PAS.

Wanita PKR sendiri telahpun berikrar akan turun padang berkempen dalam misi menafikan kekuatan Umno di Dun berkenaan. Ketuanya, Noraini Husin berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menggerakkan jentera kempen bagi membantu calon PAS.

Menurutnya, satu-satunya musuh utama Pakatan Rakyat ialah Umno dan BN. Jadi, katanya, tugas utama yang turut dipikul Wanita PKR ialah untuk menewaskan musuh tersebut.

Bagi PAS sendiri, berdasarkan pengalaman dalam pihan raya besar dan kecil masa lalu, ia dengan mudah menggerakkan jenteranya kerana PAS mempunyai kekuatan tenaga kerja yang banyak, yang bekerja secara sukarela, bahkan mereka sendiri turut mencari dana untuk kempen tersebut. 

Memang dari hari penamaan calon itu hingga ke hari mengundi, bertepatan di tengah-tengah suasana Muktamar PAS di Batu Pahat. Tetapi ini tidak akan membimbangkan, kerana tenaga PAS begitu ramai dan mereka akan bertugas secara bergilir-gilir.

Pada kesempatan PRK ini, kita yakin PAS akan memperihatkan perpaduannya yang erat di bawah pimpinan Datuk Seri Presiden. Maka itu, sama ada di Muktamar mahupun dalam kempen PRK Pengkalan Kubor ini, PAS akan memperlihatkan kematangannya berpolitik, walaupun wujud pelbagai perbezaan pendapat, tetapi ia terus kukuh dan padu.

Dengan itu, baik musuh tradisi PAS – Umno/BN – mahupun para pengkritik PAS serta mereka yang memakai jenama sebagai pengulas politik serta pelbagai pihak yang prejudis terhadap PAS akan kecewa dengan keutuhan perpaduan PAS ini.

Kita yakin, ketika dan selepas PRK Pengkalan Kubor dan juga selepas muktamar PAS ini  berlangsung tidak akan ada sebarang bukti pergeseran antara pelbagai golongan di dalam PAS.  

Heboh-heboh di dalam media, dalam Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya, konon wujud perbalahan puak dalam PAS tidak akan menjelma menjadi kenyataan kerana pendukung PAS, pelbagai golongan, lebih mengutamakan perpaduan parti. Ini adalah hasi tarbiyah berterusan sejak lebih setengah abad.

Di samping itu PAS akan terus membuktikan komitmennya bersama Pakatan Rakyat, walaupun kini para peramal poitik terus menjangkakan bahawa PAS akan berpisah daripada Pakatan Rakyat.

Mereka yang membuat ramalan ini akan kecewa dan akam terus kecewa, malah Muktamar PAS dan PRK Pengkalan Kubor ini akan memperlihatkan bahawa PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Inilah bukti kematangan politik PAS, sebuah parti yang telah berumur 60 tahun dengan segala pengalaman pahit getirnya.

Sementara itu dengan kerja keras, strategi dan bacaan poitik yang tepat, maka dengan izin Allah calon PAS akan memenangi PRK Pengkalan Kubor ini, bukan saja menang tetapi mendapat majoriti yang besar hendaknya. 

Lebih-lebih lagi, ramai berpendapat bahawa Kelantan dan rakyatnya adalah ‘guru politik’ di negara ini.  Hendak belajar taktik politik, kata mereka, belajarlah dari rakyat Kelantan. Sama ada berlebihan atau tidak tanggapan ini, terpulangkan kepada pendapat masing-masing. –HARAKAHDAILY 10/9/2014

No comments: