Sunday, September 14, 2014

Pengundi perlu tolak parti khianat royalti



TUMPAT: Pertubuhan R Kelantan mencabar Tan Sri Muhyuddin Yassin menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat akaun Petronas bagi melihat jumlah wang royalti milik Kelantan yang dibayar Petronas kepada kerajaan pusat.

Timbalan Presidennya, Abdul Shakur Sharrie berkata, sebelum ini mahkamah enggan membenarkan perbicaraan terbuka dengan memanggil saksi-saksi dan mendapatkan dokumen pengeluaran Petronas di bumi Kelantan.

“Kami pernah mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan menyiasat akaun Petronas. Kami juga telah menyerahkan beratus surat kepada Perdana Menteri dan Petronas.

“Jika Timbalan Perdana Menteri benar-benar ikhlas, usulkan atau sekurang-kurangnya menyokong secara terbuka usaha meletakkan Petronas di bawah tanggungjawab parlimen bagi membolehkan akaunnya dibentang dan dibahaskan setiap wakil rakyat,” katanya di sini.

Muhyiddin ketika bercakap kepada pemberita di sini mencabar kerajaan PAS Kelantan mengemukakan bukti kerajaan pusat berhutang bayaran royalti minyak kepada negeri itu.

Menurut beliau BN bersedia menjawab isu berkenaan sekiranya ia timbul dalam kempen pilihan raya kecil Pengkalan Kubor.

Abdul Shakur juga berkata, Petronas dan kontraktor-kontraktornya seumpama melakukan rompakan hasil petroleum Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak kerana menghapuskan Undang-Undang Darurat menyebabkan keseluruhan wilayah laut negeri menjadi milik kerajaan pusat.

Katanya, Undang-Undang itu diganti dengan Akta 750, namun ia dianggap tidak sah untuk dikuatkuasakan kerana tidak diluluskan Dewan Undangan Negeri dan belum mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

Katanya, Pertubuhan R Malaysia menjalankan kempen agar kesemua negeri pengeluar Petroleum menolak secara rasmi Akta 750.

“Akta ini tidak sah. Oleh itu pengundi di Pengkalan Kubor hendaklah menolak calon parti yang mengkhianati rakyat Kelantan.

Akta 750 Akta Wilayah Laut 2012 dilulus di Parliamen pada 2012 bagi menggantikan Akta Darurat yang telah dimansuhkan. -HARAKAHDAILY 13/9/2014

No comments: