Friday, September 5, 2014

Siapapun calon, yang penting Umno ditewaskan


KOTA BHARU: Pemuda Pakatan Rakyat tidak mahu isu calon pada Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor menjadi masalah kepada kerjasama antara PKR dan PAS.

Bagi mereka, parti mana sekalipun yang dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk bertanding di situ, mereka akan memberi sokongan penuh.

Penegasan itu dibuat Timbalan Ketua AMK Pusat, Dr Afif Baharuddin ketika mengunjungi Pemuda PAS Kelantan semalam.

"Soal calon yang bakal bertanding sama ada dari PAS atau PKR tidak penting, kerana sasaran sebenar yang perlu dikalahkan ialah Umno dan BN.

“Saya yakin majlis pimpinan Pakatan Rakyat, Majlis Presiden akan membuat keputusan yang terbaik demi memastikan kemenangan calon Pakatan pada PRK nanti,” ujarnya.

Kunjungan beliau semalam disambut oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari di pejabat dewan itu, di Syabab Point.

Hadir sama, timbalannya Ustaz Hafiz Musa, Naib Ketua Pemuda, Ustaz Asri Daud serta kepimpinan pemuda peringkat negeri.

“Kerjasama erat yang akan diberikan baik dari AMK atau Pemuda PAS  bagi memastikan seleruh jentera pemuda di kalangan kami turun untuk kemenangan di Pengkalan Kubor,

“Kita juga akan hadapi beberapa cabaran bersama, itu tugas kami untuk mengatasinya,” ujar Afif lagi.

Menurutnya lagi, Pemuda Pakatan Rakyat begitu komited untuk memastikan kerajaan BN dan Umno dapat ditukar dalam PRU akan datang dan Pengkalan Kubor sebagai pandu arahnya.

Tujuan pertemuan itu juga katanya untuk menyatakan komitman sebagai anggota pemuda, di mana siapa pun calon dikemukakan ia calon PR dipihak angkatan muda tetap akan bekerjasama.

- HARAKAHDAILY 5/9/2014

No comments: