Monday, September 8, 2014

Sokong Majlis Syura, pertahan kuasa Presiden PAS



KUALA LUMPUR: Selari dengan kedudukan Majlis Syura Ulamak PAS yang diberikan kuasa menjelas, menghurai dan menafsirkan Perlembagaan PAS yang telah bermesyuarat pada 7 September memutuskan bahawa Presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam membuat keputusan segera atau dalam apa-apa isu yang melibatkan kepentingan parti. 

"Ini merupakan manifestasi daripada Fasal 26 (1) (a)," kata Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya dalam satu kenyataan. 

Maka dengan ini, ujar beliau dipertegaskan bahawa Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menyokong teguh pendirian tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan seluruh ahli PAS mempunyai kefahaman yang jelas tentang adab berjemaah yang telah diajarkan oleh para pimpinan terdahulu dan para ulama haraki.

"Sebagai ahli PAS, adalah satu tanggungjawab untuk kita setia dan taat kepada pimpinan tertinggi dalam memenuhi prinsip dan adab berorganisasi," katanya lagi. 

Jelas beliau, selagi tidak melanggar syariat, meskipun terdapat khilaf, pandangan pemutus adalah juga di tangan kepimpinan.

Justeru, tegasnya Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dengan ini bertegas bahawa segala keputusan yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Presiden adalah sah di sisi perlembagaan parti. 

Bahkan, ujar beliau dengan kemampuan ijtihad siyasi yang dimiliki Presiden PAS memberikan keyakinan kepada ahli dan masyarakat. -HARAKAHDAILY 8/9/2014

No comments: