Wednesday, September 3, 2014

Unit Amal: Bapak menteri, tidak selamanya kita di atas


KOTA BHARU: Perwakilan Pemuda PAS Negeri Kelantan akan memakai pakaian seragam Jabatan Amal pada Muktamar Pemuda PAS Malaysia pada 16 September ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu diputuskan sebagai tanda solidariti kepada jabatan berkenaan yang sentiasa menabur bakti khususnya soal kebajikan sejak sekian lama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menimbulkan kemarahan banyak pihak apabila akan mengambil tindakan terhadap Unit Amal.

Zahid membuat kenyataan kelmarin akan mengambil tindakan yang sama terhadap badan sukarela lain sebagaimana PPS Pulau Pinang.

Fadhli seterusnya berkata, Pemuda PAS adalah pertubuhan yang berdaftar, oleh itu mana-mana unit di dalamnya tidak perlu lagi didaftar sebagaimana skuad sayang milik Puteri Umno.

“Untuk itu Pemuda PAS Kelantan akan mempertahankan Unit Amal dan amat tidak bersetuju dengan kenyataan Zahid Hamidi,” ujarnya.

Hujung tahun lepas, ujarnya ketika Umno sedang bersidang di Kuala Lumpur, anggota Jabatan Amal Pemuda PAS bertungkus lumus menghulurkan bantuan kepada lebih 200 keluarga polis yang terperangkap di perumahan polis Bukit Mentok, Kemaman akibat banjir. 

Ia hanyalah secebis dari khidmat cemerlang Jabatan Amal dari dulu lagi di seluruh negara. Mereka ialah the unsung hero.

Katanya, menteri yang gambarnya bersaiz besar digantung di hadapan balai polis seluruh negara tahun lepas (konon tahniah berjaya banteras jenayah) ketika hangat kempen Naib Presiden Umno tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mahu bertindak ke atas anggota Jabatan Amal.

"Bapak menteri janganlah melampau sangat. Hidup ni umpama roda. Tidak selamanya kita di atas," ujarnya. - HARAKAHDAILY 3/9/2014

No comments: