Wednesday, September 24, 2014

Wan Rosdi Bantu Dapat Geran Tapak Persatuan Kereta Sewa


TUMPAT: Impian lebih 100 ahli Persatuan Pemandu Kereta Sewa Pengkalan Kubor mendapatkan geran tapak persatuan itu akhirnya menjadi kenyataan awal tahun lepas.

Hasrat mendapat geran menjadi kenyataan selepas mendapat bantuan Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Ahli jawatankuasa persatuan itu Osman Abd Rahman, 47, berkata sebelum ini persatuan itu tidak mempunyai stesen tetap walau pun lebih 30 tahun memohon untuk mendapatkan geran.

“Paling berharga kepada kami apabila kerajaan negeri meluluskan geran hak milik kepada persatuan di sini. Ini hasil perjuangan ahli serta AJK.

"Terima kasih kepada mereka yang mempermudahkan permohonan kami,” katanya ketika ditemui di sini.

Kelmarin anggota parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar dan Wan Rosdi melawat stesen kereta sewa terbabit yang terletak berhampiran kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor.

Osman berkata, beliau dan rakan-rakan melahirkan rasa gembira terhadap kerajaan negeri kerana meluluskan geran kepada persatuan.

Ahli persatuan itu, Kamal Muhammad, 44, pula memohon jasa baik mana-mana pihak dapat membantu bagi  membolehkan persatuan terbabit memiliki bangunan lebih baik.

"Kalau boleh bagilah kemudahan kepada kami di sini kerana kemudahan yang ada sekarang sudah tidak sesuai lagi.

"Lagi pun pelancong semakin ramai datang melalui negara jiran untuk melancong ke Kelantan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 24/9/2014

No comments: