AKU dapat banyak rungutan, tidak berpuas hati dengan keputusan PAS untuk mencalonkan Che Long atau Azlan@Endut Bin Yusoh sebagai calon PAS bagi pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut pada 24hb Julai yang akan datang.
Dikatakan Azlan ini calon saat akhir dengan campur tangan PAS Pusat setelah PAS Besut tidak mampu selesaikan pertikaian mengenai penentuan calon - tidak hairanlah kenapa pengumuman mengenainya dibuat hampir tengah malam semalam.
Memang dari satu segi, kedudukan kewangan Azlan ini kukuh. Dikatakan wang sumbangan dari dia sahaja yang menjalankan operasi PAS Besut selama ini.
Sebagai kontraktor kelas A yang dapat banyak projek kerajaan persekutuan, dia memang ada banyak wang yang boleh disumbangkan kepada PAS kawasan, tapi apa kepentingan sumbangan wang itu kepada rakyat Kuala Besut sendiri?
Lainlah kalau Azlan mahu berkongsi kekayaannya dengan rakyat Kuala Besut, itu mungkinlah tapi aku tak nampak perkara tersebut akan pergi ke situ.
Bukankah lebih elok PAS memilih bekas ADUN Kuala Besut penggal 1999-2004, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh sebagai calon. Selain pernah mewakili kawasan tersebut, Nik Zawawi juga adalah Setiausaha Majlis Syura -badan tertinggi dalam PAS.
Atau paling tidak mencalonkan semula calon yang kalah dalam PRU13 yang lepas, Napisah Ismail yang berjaya meningkatkan undi kepada PAS kepada 6,375 undi berbanding 4,492 undi yang diperolehi Datuk Zawawi pada 2008.
Dari statistik yang dijalankan, peningkatan 1,883 undi itu kebanyakkannya disumbangkan oleh pengundi wanita Kuala Besut. Faktor pengundi wanita ini pun main peranan yang penting juga, nasib baik Azlan tidak beristeri lebih dari satu, kalau tidak, tambah satu isu lagi.
Selain itu, aku juga dimaklumkan bahawa Azlan ini walaupun kaya dan menjadi kontraktor berjaya, pendidikannya sangat-sangat rendah, setakat SPM pangkat 3 sahaja pun.
Apakah PAS tidak ada calon yang jauh lebih baik dari ini untuk dicalonkan? Ingat, BN mencalonkan seorang jurutera dengan kelayakan Ijazah Kejuruteraan Sivil dari Universiti Sains Malaysia (USM). Tak disebutkan lagi calon berkenaan yang 11 tahun lebih muda dari Azlan.
Sebab itu aku kata pemilihan Azlan ini satu kesilapan. Ada terlalu banyak ciri-ciri mengenai orang ini yang boleh dimanipulasi lawan.
Memang dari pandangan amnya, isu peribadi seperti taraf pendidikannya ini kurang memberi kesan di peringkat nasional (atas sebab sama kenapa Datuk Mahfuz Omar boleh menang), tapi untuk peringkat DUN, ia memberi kesan yang sangat besar.
Justeru, dari pandangan aku sendiri, Azlan memang tidak punya harapan yang banyak. Aku tak nampak di mana kekuatan yang ada pada Azlan untuk mengalihkan majoriti 2,424 undi yang diperolehi BN dalam PRU13 yang lepas dengan hanya 12 hari masa berkempen.
Ramai orang tak faham kenapa dalam keadaan PAS berpeluang untuk merampas Terengganu seperti sekarang (walaupun tipis), calon yang ditampilkan tidak seperti mana yang diharap-harapkan oleh semua pihak.
Maaf cakaplah, tapi aku rasa PAS betul-betul buat silap kali ini.
No comments:
Post a Comment