Mungkin ramai ketawa mendengar cadangan DAP semalam yang mahu pasukan pengaman PBB di bawa masuk ke negara ini untuk membantu mengawal kejadian tembak dan jenayah lain yang semakin meningkat di negara kita ini.
Bagi yang singkat akal, cadangan itu nampak mengarut kerana negara kita bukan dalam keadaan berperang sehingga memerlukan campur tangan pasukan pengaman PBB. Hujah mereka, sedangkan dalam menghadapi pencerobohan lanun Sulu di Lahad Datu pun kerajaan tidak meminta campur tangan luar.
Itu adalah pandangan mereka, seperti yang aku katakan, akal mereka singkat.
Bagi Pakatan Rakyat sendiri, cadangan tersebut bukanlah satu bahan jenaka tapi mempunyai merit tertentu dan layak diberikan perhatian serius oleh kerajaan.
Selain jumlah kekuatan anggota polis yang tidak mencukupi bagi menghadapi 260,000 bekas tahanan Ordinan Darurat yang dibebaskan berikutan pemansuhan undang-undang tersebut, kelihatannya pasukan polis negara kita sudah buntu untuk mencari penyelesaian kepada kejadian jenayah, khususnya kejadian tembak di perhentian lampu isyarat yang semakin menjadi-jadi.
Bercakap tentang kejadian tembak di lampu isyarat yang menjadi ketakutan utama rakyat sekarang, hanya Perlis, Pahang dan Sabah sahaja yang belum berlaku kejadian tembak di lampu isyarat ini, negeri yang lain, semuanya sudah.
Terutama Kelantan dan Pulau Pinang - 2 negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.
Pun begitu Pakatan Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana kuasa mengawal keselamatan bukan di tangan kerajaan negeri, sebaliknya kerajaan persekutuan.
Setakat kemampuan kita ialah memberi cadangan sahaja, dan itupun bergantung kepada kerajaan persekutuan untuk menerima atau tidak, termasuklah dalam soal membawa pasukan pengaman PBB masuk ke negara ini untuk menggantikan tugas polis mengawal keselamatan negara.
Menurut rekod, pasukan pengaman PBB ini telah banyak memainkan peranan dalam mengembalikan semula keamanan di negara-negara yang bergolak dan undang-undangnya sudah tidak lagi dihormati dan aku yakin kehadiran pasukan tersebut di negara kita mampu mengembalikan semula keamanan seperti mana dahulu.
Taklah macam sekarang, nak berhenti di lampu isyarat pun rasa takut.
Apa yang diperlukan kerajaan sekarang begitu mudah, hanyalah dengan membuat permohonan kepada PBB dan aku tidak nampak sebarang masalah kenapa permohonan itu tidak boleh diluluskan.
No comments:
Post a Comment