Friday, September 13, 2013

16 September Hari Mengingati Penjajah - Jeffery Kitingan


Bagi orang Semenanjung, cadangan pemimpin parti STAR Sabah, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan semalam yang mahu hari Malaysia pada 16 September ini, ditukar kepada hari penjajahan, mungkin nampak berbaur hasutan dan cubaan untuk menderhaka kepada negara.

Sebagai orang Sabah sendiri, Jeffrey pasti ada alasan tersendiri kenapa dia mengeluarkan kenyataan tersebut dan tidak seharusnyalah kita yang bukan orang Sabah ini nak melebih-lebih pula membuat andaian Jeffrey menderhaka dan sebagainya.

Jeffrey sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pandangan masyarakat Sabah hari ini terhadap penyertaan negeri tersebut ke dalam Malaysia telah banyak berubah dan tidak seharusnyalah generasi hari ini dihukum oleh keputusan yang dibuat nenek moyang mereka 40 tahun yang dulu.

Tak pulak dikenakan apa-apa tindakan pada ketika itu, kenapa yang ini pula nak kena tindakan?

Sepatutnya cadangan Jeffery ini perlu diberi pertimbangan, kalau bukan oleh Barisan Nasional (sudah tentulah), tapi oleh Pakatan Rakyat.  Lagipun dalam Manifesti PRU13 yang lepas, Pakatan Rakyat telah menjanjikan kuasa autonomi penuh untuk negeri Sabah.

Cuma malangnya, kuasa autonomi penuh yang macam mana, tidak pulak dijelaskan dengan terperinci.  Memang Sabah akan diberi tambahan royalti minyak sebanyak 15% lagi kepada 20% (berbanding 5% sekarang) sedangkan kalau ikut tafsiran autonomi penuh, Sabah sepatutnya dapat 100%!!

Itulah yang sedikit mengelirukan.  Kalau itu (royalti) saja yang berubah, yang lain sama macam sekarang, itu bukan autonomi penuh lagi.

Agaknya, disebabkan kekaburan inilah kenapa rakyat Sabah masih memilih BN sebagai kerajaan negeri dan hanya memberikan tambahan 1 kerusi Parlimen dan beberapa tambahan kerusi DUN lagi kepada Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perlulah dijelaskan blog ini tidak menyokong atau membantah saranan Jeffery Kitingan, cuma kita mahu pandangan tersebut diberi perhatian dan penilaian yang sepatutnya oleh pihak-pihak yang terbabit, bukan dengan mudah mengatakan dia cuba menderhaka dan sebagainya.

No comments: