Tuesday, October 29, 2013

Bilion ringgit dibelanjakan tapi jalan masih teruk

KOTA KINABALU: Keadaan jalan raya Sabah yang masih teruk adalah antara isu yang sering menjadi rungutan penduduk di negeri ini. Dengan keadaannya yang berlubang, berlopak, mendap, beralun serta tampalan yang tidak sempurna, ia menyebabkan sesuatu perjalanan itu amat tidak menyeronokkan.

Ia bukan saja tidak menyeronokkan, tetapi untuk jangka masa lama, ia pasti menjejaskan kenderaan apabila tayar meletup atau rim rosak sekaligus meningkatkan perbelanjaan penduduk, menjejaskan mereka yang pendapatan rendah kerana perlu menyelenggara kereta rosak.

Walaupun Kerajaan Pusat dan Negeri sudah membelanja berbilion untuk memberi kemudahan infrastruktur pengangkutan yang boleh dibanggakan kepada rakyat, namun keadaan masih juga sama di kawasan kampung atau di bandar.

Selepas lebih 40 tahun, masih ramai melihat keadaan jalan balak yang diselenggara oleh syarikat pengusaha balak di negeri ini dalah lebih baik daripada yang disediakan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata ini merupakan satu cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) apabila menyediakan reka bentuk dan spesifikasi jalan raya yang baik.

Pairin tidak menafikan bahawa pembinaan jalan raya yang baik di Sabah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai memandangkan kawasan pergunungan geografi dan juga tanah rendah berpaya yang banyak di negeri ini.

“Cabaran-cabaran ini memerlukan kepakaran khusus dan yang lebih penting permintaan untuk setiap kakitangan teknikal JKR untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini,” katanya di majlis pelancaran Hari Pembangunan Jalan Raya sempena Hari Jalan Raya di Sabah di Sembulan, minggu lalu.

Kerajaan negeri katanya, membelanjakan lebih daripada RM1 bilion sejak Rancangan Malaysia Pertama untuk membangunkan aset-aset infrastruktur di negeri ini termasuk jalan raya di Sabah.

Beliau berkata, perbelanjaan untuk infrastruktur jalan pasti akan meningkat setiap tahun dan melalui perbelanjaan ini, rangkaian jalan raya di Sabah sudah mencapai jarak 21,136 km sehingga kini.

“Pembinaan jalan juga akan terus diadakan dari masa ke semasa selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan tempo pembangunan sejajar dengan misi negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya.

Pairin mengakui, pengguna jalan raya pada masa kini tidak berpuas hati dengan hanya penyediaan rangkaian jalan raya semata-mata. Mereka mahukan pengangkutan jalan yang berkualiti untuk memudahkan kegiatan harian mereka.

“Namun untuk memenuhi permintaan ini juga ia merupakan satu cabaran kerana bukan mudah untuk mencapainya memandangkan terdapat cabaran-cabaran yang lain seperti gangguan membabitkan bencana alam.

“JKR diamanahkan dalam semua perkara yang berkaitan dengan jalan raya dan ia mesti bersedia menerima cabaran ini,” katanya menambah menjaga aset jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak.

Menurutnya, sistem penyampaian yang memuaskan adalah satu matlamat yang mutlak dan bukan lagi satu pilihan jika mahu mewujudkan sistem pengangkutan yang baik, terutama jalan raya yang menjadi satu kemestian kini.

Kata Pairin, semua orang perlu sedar bahawa jalan-jalan mempunyai reka bentuk hayat tertentu dan ada peraturan yang mesti dipatuhi semua pengguna jalan.

Laporan yang dikeluarkan media baru-baru ini juga mendedahkan bahawa jumlah kemalangan jalan raya di negeri ini meningkat daripada 194 pada 2009 kepada 377 kes pada tahun lalu. Statistik daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61.1 peratus.

Kota Kinabalu mencatatkan jumlah paling banyak berlaku kemalangan, berganda dua kali daripada 72 kes pada 2009 kepada 198 kes pada 2012.

Kemalangan jalan raya kata Pairin, boleh menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi dan manusia. Bank Pembangunan Asia mendedahkan bahawa Malaysia kerugian kira-kira RM7.5 bilion dalam “nilai kehidupan disebabkan oleh kemalangan jalan raya” pada 2003. Ia adalah jumlah yang besar.

Ketika keadaan jalan teruk sebagai penyumbang kepada kemalangan, kemahiran pemanduan defensif, tekanan dan keletihan juga boleh menjejaskan pemandu di jalan raya.

Menurut Pairin, pihak berkuasa perlu tegas ke atas mereka yang mabuk ketika memandu, memandu secara melulu dan laju kerana mereka juga menyebabkan kemalangan.

Sementara itu, sumber industri berkata, jalan utama yang menghubungkan beberapa daerah di negeri ini seperti Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau, Telupid, Beluran, Sandakan, Kinabatangan dan Lahad Datu masih merupakan jalan yang paling teruk bermasalah.

Jalan Kalabakan-Sapulut yang menghubungkan Tawau dengan Kota Kinabalu misalnya, dianggap oleh pihak pembangkang sebagai antara projek infrastruktur yang paling teruk gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah kerana membazir kira-kira RM565 juta wang pembayar cukai.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Tawau, Datuk Kong Hong Ming berkata, kerajaan membazir ratusan juta wang untuk membina jalan tanpa kajian teliti keadaan teruk jalan sekarang.

Kong dalam kenyataan berkata, jalan berturap yang dikatakan menelan belanja lebih RM500 juta di Jalan Kalabakan-Sapulut tidak mampu diseleggara, tidak sesuai dan tidak selamat diguna.

“Lebih dari 10 seksyen jalan raya itu tidak dapat dilalui trafik. Selain itu, kejadian tanah runtuh dan hakisan serta kurang diselenggara menyebabkan kerosakan besar di sepanjang jalan,” katanya menambah malang bagi pengguna jalan kerana berdepan dengan ketidakselesaan ini.

Ramai mengatakan bahawa keadaan jalan raya sekarang adalah lebih teruk daripada jalan pembalakan yang diseleggara syarikat kayu balak. Ini berbeza dengan rangkaian komunikasi yang moden dan mahal di Semenanjung yang menyediakan sistem pengangkutan awam dan infrastukturnya yang baik dan dinikmati rakyat.

Sementara itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yakin mampu menyiapkan pembinaan jalan raya sehingga 300 kilometer lagi di Sabah menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sejak Januari sehingga Ogos lalu, sepanjang 1,080 km jalan raya siap dibina di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sepanjang 265.24 km adalah di Sabah termasuk pembinaan di Sandakan.

“Saya optimis kementerian mampu menyiapkan semua kemudahan jalan raya ini, namun projek itu juga bergantung kepada peruntukan yang masih ada,” katanya selepas merasmikan Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Bambangan-Sandakan, baru-baru ini.

Beliau mengakui, pembinaan jalan raya di Sabah berhadapan dengan kelewatan pembikinan kerana berdepan dengan banyak masalah termasuk kejadian tanah runtuh di daerah Ranau bergunung seperti di Gunung Mas dekat Penampang dan di Kundasang/Ranau.

No comments: