Friday, October 25, 2013

Dedah syarikat keselamatan pengawal bunuh pegawai bank

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mendedahkan nama syarikat keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank di USJ Subang, kelmarin.

“Tidak wajar untuk KDN dengan sekadar mengisytiharkan bahawa syarikat tersebut telah digantung lesen,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, banyak persoalan yang timbul daripada prosedur menggaji pengawai keselamatan itu.

Antaranya, kata beliau bagaimana pegawai keselamatan yang memiliki IC palsu.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mendedahkan nama syarikat keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian menembak mati pegawai operasi Ambank di USJ Subang, Rabu lalu.




Tidak wajar untuk KDN dengan sekadar mengisytiharkan bahawa syarikat tersebut telah digantung lesen.

Banyak persoalan yang timbul daripada prosedur menggaji pengawai keselamatan itu, antaranya bagaimana pegawai keselamatan yang memiliki IC palsu.

Berapa lagi orang yang memiliki IC palsu di negara ini – ini di bawah tanggungjawab KDN untuk menjawab kepada rakyat.

Kedua, bagaimana penjenayah ini dapat diterima kerja dengan IC palsu?

Apakah syarikat keselamatan berkenaan tidak tahu menyemak maklumat pekerja yang digajinya dengan Jabatan Pendaftaran Negara?

Bagaimana bayaran gaji dan KWSP dibuat? Apakah penjenayah itu mempunyai akaun KWSP?

Ketiga, yang paling membimbangkan ialah orang yang memiliki IC palsu ini diberikan kuasa dan kebenaran untuk memegang senjata api. Ini satu kejutan bagi rakyat Malaysia tatkala kejadian menembak masih menjadi-jadi.

Apakah rasional KDN untuk merahsiakan nama syarikat terbabit yang kini jelas menjadi satu ancaman kepada keselamatan rakyat kerana kecuaiannya?

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN, Datuk Alwi Ibrahim berkata KDN telah mengeluarkan Lesen Agensi Persendirian kepada 751 syarikat kawalan keselamatan dan daripada jumlah itu, sebanyak 125 syarikat mempunyai lesen untuk menjalankan operasi kawalan keselamatan senjata api.

Katanya, sebanyak 90 peratus syarikat telah diaudit.

Persoalannya apakah audit ini dilakukan berkala atau selepas kejadian berlaku.

Sekiranya audit ini dilakukan dengan konsisten, sudah tentu KDN dapat mengesan lebih awal pegawai-pegawai keselamatan yang memiliki IC palsu telah digaji oleh syarikat-syarikat keselamatan.

KDN juga harus menyemak apakah ada senjata api yang hilang daripada syarikat-syarikat keselamatan ini sebagaimana anggota polis hilang senjatanya di dalam tandas dan di dalam kereta kerana terlupa dan dirompak.

Sebagai langkah permulaan untuk menunjukkan KDN serius menangani masalah ini, PAS mengesyorkan agar KDN mendedahkan nama syarikat terbabit sebagai amaran kepada syarikat-syarikat keselamatan yang lain untuk mematuhi peraturan yang sedia ada.

No comments: