Friday, October 25, 2013

Zulkifli Mohd Noor letak jawatan AJK DAP Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Ahli Jawatan Kuasa DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd Noor semalam mengumumkan kepada pihak media tentang perletakan beberapa jawatan beliau dalam parti dan juga dalam kerajaan berkuatkuasa semalam.

Katanya, beliau juga meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen, Bayan Baru dan Pengarah Penang Global Tourism(anak syarikat PDC).

“Tindakan yang saya ambil berasaskan kepada kedudukan terkini pemimpin parti DAP yang dilihat telah jauh tersasar dari sudut kepimpinan mereka samada menerusi parti mahupun melalui kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan tidak terkhilaf mengatakan bahawa cara kepimpinan kerajaan negeri pada hari ini adalah tidak menyebelahi rakyat.

Katanya lagi, kerajaan negeri dilihat telah memesong kepada pemerintahan kuku besi yang hanya menguntungkan golongan yang bertaraf “elite” sahaja.

“Perjuangan asal DAP yang bertunjangkan sosial demokrat kini telah bertukar haluan kepada kapitalisma dan diktator,” katanya lagi.

Beliau menambah ungkapan kepimpinan yang berteraskan “Saidina Umar Abdul Aziz” adalah merupakan retorik semata-mata yang tidak membawa sebarang erti kepada rakyat.

“Justeru itu saya berpandangan bahawa cara pemerintahan sekarang adalah bertentangan dengan prinsip dan pegangan hidup saya,” tegasnya.

Namun demikian sehingga ke hari ini beliau masih kekal sebagai ahli parti DAP yang beliau sertai semenjak 26 tahun yang lalu.

No comments: