Thursday, October 24, 2013

Hudud Brunei: PAS Jangan Pula Nak Mengada-Ngada

Ramai orang PAS yang aku jumpa, sangat gembira dengan keputusan kerajaan Brunei Darussalam untuk melaksanakan hukuman Hudud sepenuhnya di negara tersebut seperti yang diumumkan Sultan Hassanal Bolkiah kelmarin.

Harakah sendiri tidak sempat-sempat memainkan isu tersebut dan memuji kerajaan Brunei kerana keputusan itu.  Untuk rekod, PAS telah lama bermimpi untuk melaksanakan hudud di negara ini tapi hasrat tersebut telah digugurkan sebaik PAS menyertai Pakatan Rakyat pada April 2008.

Kebetulan sekarang sedang berlangsung kempen pilihanraya kecil Sungai Limau di Kedah dan tidak hairanlah kenapa sudah ada yang berpendapat isu hudud ini mampu memberi kelebihan kepada parti tersebut pada hari pengundian 4 November nanti.

Siapalah yang cukup tongong berandaian sedemikian, aku pun tak tahu.

Pakatan Rakyat suka nak jelaskan disini bahawa, hudud bukan dalam agenda Pakatan Rakyat dan dalam apa keadaan sekalipun, ia tidak seharusnya dibangkitkan oleh mana-mana parti komponen, terutama sekali PAS.

Pelbagai siri penerangan dan kenyataan yang dikeluarkan secara rasmi sebelum ini, jelas menunjukkan bahawa PAS sudah tidak lagi berminat untuk memperjuangkan isu hudud.  Soal apa Brunei nak buat, itu hak mereka, lagipun negara itu diperintah oleh Sultan berkuasa mutlak, tidak ada demokrasi sama sekali.

Berlainan pula dengan Malaysia ini yang mengamalkan demokrasi berparlimen, dimana lebih 1/.3 rakyat adalah terdiri dari orang bukan Islam.

PAS tidak sepatutnya membincangkan isu perlaksanaan hudud di Brunei kerana ia boleh menimbulkan mimpi ngeri kepada orang bukan Islam di negara ini.  Bencana pilihanraya umum tahun 1999 yang menyaksikan DAP tewas dihampir kesemua kawasan yang ditandingi mereka, masih segar dalam ingatan.

Dengan itu, tidak usahlah PAS cuba nak membangkitkan nostalgia ngeri tersebut dengan membangkitkan semula isu perlaksanaan hudud oleh kerajaan Brunei sana.

Aku rasa PAS pun tahu Sungai Limau mempunyai lebih 1,800 orang pengundi bukan Melayu yang bila-bila masa boleh berubah haluan, jika isu hudud ini dibangkitkan semula dalam kempen pilihanraya kecil sekarang.

Ini bahaya kerana bekas penyandang kerusi terbabit, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak dulu pun hanya menang dengan majoriti lebih sedikit dari 2,700 undi sahaja, bayangkan kalau 1,800 orang pengundi cina ini beralih arah, ada kemungkinan PAS akan menang dengan majoriti lebih kecil.

Sedangkan ada banyak isu besar yang sedang berlaku sekarang dan boleh memberi kelebihan kepada PAS seperti kenaikan harga petrol, GST, penghapusan subsidi gula dan sebagainya yang boleh dimainkan, tapi kerana hudud, hasrat untuk menang dengan majoriti lebih tinggi, punah semua sekali.

No comments: