Aku rasa sesiapa pun akan dipandang bodoh jika cuba menegakkan pendapat bahawa rokok ini adalah baik kepada kesihatan dan dengan itu tabiat menghisapnya, perlu digalakkan.
Tapi dalam masa yang sama, semua kita juga perlu akui, menaikkan harga rokok untuk mengurangkan gejala tersebut (bagi yang telah terjebak dengannya), juga adalah satu tindakan yang sama bodoh dengan menggalakkan tabiat merokok.
Maka itu keputusan kerajaan menaikkan cukai eksasais rokok sebanyak 14%, yang kemudian membawa kepada kenaikan harga produk tembakau tersebut setinggi RM 1.50 sekotak, ternyata satu tindakan yang menunjukkan bahawa kerajaan mahu 'berperang' dengan semua orang.
Kita sedang bercakap kelompok manusia hampir 50% dari keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 28 juta orang. Ini satu jumlah yang besar dan mana-mana kerajaan yang cuba cari pasal dengan jumlah yang seramai ini, memang sengaja menempah bala!!
Kenaikan harga rokok - tidak berapa lama setelah harga minyak dinaikkan sebanyak RM 0.20 seliter, memang membebankan rakyat terutama dalam kategori berpendapatan rendah dan Pakatan Rakyat perlu akui tentang perkara tersebut.
Selain itu, aku bimbang kenaikan harga rokok yang begitu tinggi sekali ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang lain kerana kos kehidupan penjual (yang mungkin seorang perokok), telah meningkat dengan mendadak sekali.
Hakikatnya Pakatan Rakyat sudah pun ada jalan bagaimana untuk mengatasi masalah ini - mengurangkan beban perokok dan dalam masa yang sama mengurangkan jumlah perokok di negara ini, terutama di kalangan generasi muda.
Apakah jalan tersebut, itu tidak perlu diterangkan kerana Pakatan Rakyat bimbang UMNO akan mencuri idea tersebut dan kemudian digunakan untuk kepentingan parti tersebut, seolah-olah dialah hero dan tahu semua perkara.
Inilah bukti bahawa Pakatan Rakyat benar-benar memahami masalah rakyat. Bukan seperti pentadbiran Najib yang kononnya memahami rakyat sehingga ke tahap 'denyut nadi' - kalau benar begitu tidaklah harga minyak dan rokok dinaikkan.
Hakikatnya, sama seperti minyak, Malaysia juga mampu menghasilkan tembakau sendiri. Kelantan adalah negeri pengeluar tembakau terbesar di negara ini dan jumlah penghasilan tembakau dari Kelantan mampu menyediakan bekalan setinggi 70% kepada 3 pengilang rokok utama di negara kita.
Justeru, tidak ada sebab kenapa harga rokok perlu dinaikkan dan alasan untuk mengurangkan tabiat merokok kerana asas kesihatan yang disebutkan kerajaan, hanyalah satu alasan bodoh dan semata-mata nak melepaskan tengkuk sendiri.
Bukan nak menghasut, tapi aku rasa semua perokok di Malaysia patut bangkit menentang keputusan kerajaan ini.
No comments:
Post a Comment