Monday, November 25, 2013

Antara ulama, profesional, rahmat, hudud dan tahaluf siyasi

PETALING JAYA: Kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS dalam sesi pemilihan Muktamar PAS kali ke-59 baru-baru ini membuktikan kumpulan profesional PAS sememangnya masih lagi relevan.
Tidak dinafikan undi majoritinya pada 98 undi tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan pencabarnya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, namun kemenangan dua orang Naib Presiden PAS dari kumpulan profesional menunjukkan bahawa pengaruh kumpulan profesional ternyata masih lagi stabil.

Sungguhpun Datuk Mahfuz Omar gagal mengekalkan jawatannya, Salahuddin Ayub dari kem bukan pro ulama meraih undi yang tertinggi dengan 917 undi.
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dari kumpulan ulama serta Datuk Husam Musa (profesional) masing-masing mendapat undi sebanyak 849 dan 520.
Bagi ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat pula, 11 calon dari kumpulan profesional telah dipilih manakala hanya tujuh calon ulama berjaya mendapat tempat.
Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan bahawa kem ulama tidak menonjol apabila dibandingkan dengan kumpulan profesional dalam kepimpinan baru PAS pusat.
Ini kerana  sembilan orang ulama telah dilantik ke kepimpinan PAS pusat kali ini, katanya semalam ketika sidang media selepas penangguhan Muktamar PAS.
Semak dan imbang
Untuk Dewan Pemuda PAS pula, boleh dikatakan mempunyai semak dan imbang antara kumpulan profesional dan pro ulama apabila Suhaizan Kaiat dari kumpulan profesional memenangi jawatan Ketua Pemuda PAS.
Suhaizan yang kalah pada muktamar sebelumnya kepada Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz untuk jawatan Timbalan Ketua Pemuda, akhirnya berjaya menjadi Ketua Pemuda PAS dalam sessi pemilihan  ini.
Walau bagaimanapun, kemenangan tipis yang dikecapinya ke atas pencabar terdekat Kamaruzaman Mohamad hanya 13 undi majoriti,  menunjukkan kebanyakan wakil Pemuda PAS mungkin sekali mahukan kepimpinan ulama untuk mengetuai mereka.
Lihat sahaja dengan kemenangan Mohd Khalil Abdul Hadi, seorang ulama yang meraih jawatan Timbalan Ketua dan Khairil Nizam Khirudin dari kem pro ulama yang memenangi jawatan Naib Ketua.
Namun, diharapkan agar mereka dapat saling mengimbangi Pemuda PAS untuk kebaikan parti, lebih-lebih lagi kerana masing-masing dari kem yang berlainan.
Dewan Muslimat PAS pula tampil mengekalkan status quo apabila ketiga-tiga calon jawatan tertinggi berjaya mempertahankan jawatan mereka.
Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Muslimat Dr Siti Mariah Mahmud dan Naib Ketua Muslimat Mumtaz Mohd Nawi mengekalkan jawatan masing-masing.
Tahaluf siyasi dan hudud
Dari sudut perkara yang dibincangkan, perkara utama yang menjadi pemerhatian media dan rakan PAS dalam Pakatan Rakyat ialah tahaluf siyasi.
Kepimpinan tertinggi PAS dari Hadi hingga wakil Dewan Ulama bersungguh-sungguh dalam usaha meyakinkan bahawa tahaluf siyasi diadakan untuk menilai dan memperbaiki hubungan PAS dengan PKR dan DAP.
Sentimen perwakilan juga ke arah memperkukuhkan musyawarah dalam Pakatan Rakyat meskipun seorang perwakilan Pulau Pinang menjelaskan bahawa tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pulau Pinang Fauzi Yusoff membuka hati kepada media ekoran tindakan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP memekakkan telinga dan tidak mengendahkan sumbangan PAS selama lima tahun.
Perkara kedua ialah hudud.  Semua ahli PAS mahukan pelaksanaan hudud yang tidak disetujui DAP.  Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman umpamanya menyatakan betapa ahli DAP Selangor boleh menerima keindahan syariat Islam.
Walau bagaimanapun, kaedah pelaksanaan hudud dan persoalan yang dibangkitkan oleh pengkritik amalan hudud belum terjawab.
Contoh soalan ialah seperti berikut:  Seorang lelaki Islam dan seorang bukan Islam merogol wanita Islam.  Di manakah keadilannya sekiranya lelaki Islam terpaksa menjalani hukuman hudud manakala bukan Islam hanya dipenjara dan disebat? Apakah hak asasi lelaki Islam kurang berbanding bukan Islam.
Satu lagi aspek hudud yang gagal dihalusi perwakilan dan pimpinan PAS ialah sudut hukuman itu sendiri.
Hukuman hudud akan ditetapkan oleh mahkamah syariah.  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa bahawa Jabatan Peguam Negara telah memberi kebenaran agar hukuman maksimum ’356′ di dalam undang-undang syariah dipinda untuk memberi hukuman yang lebih berat di bawah sistem kehakiman syariah.
Selama ini, hukuman yang dijatuhkan mahkamah syariah terbatas di bawah Akta Mahkamah Syariah (Jenayah) 1984 dengan hukuman  356 iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
Dengan ini isu kebersediaan mahkamah perlu dikaji sebelum PAS mengorak langkah untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Kelancaran program menjadi tanda tanya
Berkenaan perjalanan program Muktamar PAS itu sendiri, penulis pada awalnya menjangka bahawa seluruh program muktamar akan berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan berdasarkan pengalaman semasa malam pembukaan Muktamar Dewan Pemuda PAS yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mula dan tamat pada waktunya.
Ternyata sangkaan baik itu meleset sama sekali apabila program pada hari kedua bermula dua jam selepas waktu yang sepatutnya.
Tidak cukup dengan itu, ketika para wartawan bertugas,  sumber elektrik terputus apabila wayar sambungan untuk komputer riba tiba-tiba meletup. Nasib baik letupan tersebut kecil.
Keadaan tersebut menyebabkan perwakilan media terpaksa terkocoh-kocoh mencari sumber elektrik agar tugasan dapat diteruskan, lebih-lebih lagi kerana keputusan bagi ahli jawatankuasa pusat Dewan Pemuda PAS ketika itu bakal diumumkan.
Aspek keselamatan juga menjadi tanda tanya apabila satu pergaduhan hampir tercetus dalam kalangan petugas media pada hari Jumaat ketika muktamar bermula di Stadium Malawati.
Seorang petugas media tidak semena-mena menjerit dan memaki-hamun rakannya tatkala petugas media yang lain sedang menjalankan tugas.
Setelah rakan media yang lain terkejut tatkala mendengar jeritan itu, tiba-tiba sebotol air mineral dilontar lantas terkena seorang wakil media yang lain.
Keadaan yang menjadi kecoh sebentar kembali tenteram apabila lelaki yang menjerit itu meminta maaf kepada si mangsa yang terkena lontaran botol tersebut.
Namun, persoalannya ialah, bagaimana orang awam boleh menyusup masuk ke ruang media? Ternyata keselamatan tidak dikawal ketat oleh pihak yang bertanggungjawab.
Rahmat untuk semua?
Muktamar PAS yang berlangsung selama tiga hari bertema ‘Rahmat untuk Semua’.  Namun rahmat yang disebut oleh  Abdul Hadi hanya diterima petugas media pada hari ketiga.
Petugas media lambat menerima rahmat yang dikatakan oleh Hadi. Petugas jabatan teknologi maklumat hanya menawarkan talian UniFi yang langsung tidak berfungsi.  Perkhidmatan jalur lebar juga langsung tidak berfungsi.
Pada hari kedua wartawan diberitahu bahawa Celcom tidak memberi liputan 3G di kawasan Stadium Malawati.  Ketiadaan kemudahan internet memberi kesan buruk kepada wartawan yang bertugas di situ.
Keadaan ini sangat ironik kerana pada hari Jumaat, setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali menyatakan penghargaannya kepada semua media termasuk media Internet yang memberikan tumpuan kepada sesi muktamar dan pemilihan kepimpinan PAS.
Pihak urusetia telah meminta maaf mengenai perkara ini pada hari Sabtu. Namun ia tidak memperbaiki keadaan wartawan yang tertekan untuk menghantar laporan.
Episod ini menunjukkan ketidaksediaan PAS untuk menerima teknologi maklumat.Selain itu, ketiadaan khidmat jalur lebar di stadium terkemuka di ibu negeri amatlah memalukan.
Sepatutnya pemeriksaan terperinci dilaksanakan di sesebuah tempat sebelum memutuskan untuk memanggil media ke tempat tersebut.
Mengata dulang paku serpih
Sesi pemilihan kepimpinan PAS unik sekali kerana jawatankuasa pemilihan jelas menunjukkan ketidakupayaannya dua kali dalam tempoh tiga hari sesi muktamar berlangsung.
Pemilihan di kalangan 1, 129 perwakilan tergendala buat kali pertama apabila terdapat nama calon ahli jawatankuasa pusat yang tidak tertera di atas kertas undi.
Persoalan turut timbul apabila pengumuman keputusan pemilihan jawatan naib presiden ditundakan dari hari kedua ke hari ketiga kerana pengiraan semula terpaksa dibuat.
Ketidakbolehan jawatankuasa pemilihan pimpinan Asmuni Awi jelas menunjukkan bahawa PAS tidak layak sama sekali untuk menyoal kecekapan Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) yang menguruskan pilihan raya umum dan kecil.
Kritikan PAS terhadap kecekapan SPR tidak ubah seperti mengata dulang paku serpih.  Permohonan maaf Asmuni boleh diterima tetapi imej PAS jelas tercalar di mata umum.

No comments: