Saturday, November 30, 2013

Isu gaji: Bincang semula jika perlu

  • Abdul Khalid IbrahimAbdul Khalid menjadi tumpuan media sejak isu gaji menjadi topik hangat.
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2013 melibatkan kenaikan gaji Menteri Besar Selangor, Speaker, Timbalan Speaker, Exco dan Adun akan dibincangkan semula sekiranya ada keperluan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun menegaskan, perkara itu telah dibentangkan dan dipersetujui ahli dewan dan ia akan diteruskan.

“Ya, kenaikan gaji itu akan diteruskan dan saya juga akan bincangkan dengan ahli dewan untuk dengar pandangan mereka, Insya-ALLAH ia diteruskan.


“Perkara ini telah diluluskan dan dibincangkan dalam dewan, jadi kita kena bincang semulalah kalau ada pun, tetapi dewan tidak ada mengemukakan kertas-kertas perbincangan,” katanya ketika ditemui di Lobi Dewan Annex ketika Sidang Dun berhenti rehat, semalam.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Azmin Ali yang mencadangkan kenaikan ditangguh dan dikaji semula beliau berkata, sebarang ketidakpuasan hati atau tentangan perlu dibahaskan dalam dewan sebelum pindaan enakmen itu diluluskan.

“Ketika perkara kenaikan gaji ini dibahaskan dalam dewan, Azmin ada di dalam dewan dan tidak menyuarakan apa-apa pun jika tidak bersetuju.

“Kenapa dia tak bersetuju dengan kenaikan yang telah diumumkan, saya pun tidak tahu dan kalau boleh saya pun nak tanya dia kenapa dalam dewan tak cakap apa-apa, tetapi di luar ada pula,” katanya.

Beliau berkata, permintaan kenaikan gaji ahli dewan negeri telah disuarakan sejak beberapa bulan lalu dan bukannya berlaku secara mendadak.

“Ia bukan drastik. Saya pasti hal ini tetapi mungkin sesetengah orang menganggap begitu tetapi kesemua Adun tahu mengenai hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju dengan cadangan Adun Sekinchan, Eng Suee Lim ketika perbahasan dewan mengenai hal ini yang mencadangkan bahawa sesiapa yang tidak bersetuju kenaikan boleh menyediakan borang supaya lebihan didermakan kepada badan kebajikan.

Sementara itu, Azmin ketika temui enggan mengulas lanjut mengenai hal itu, namun menegaskan hubungannya dengan Abdul Khalid baik.

“Saya tidak mahu komen. Hubungan saya dengan Menteri Besar terlalu baik,” katanya.

No comments: