Friday, November 22, 2013

Jawatan Presiden, Timbalan: Ulama lebih layak?

  • Harun Taib Datuk Harun Taib
 1 / 1 
SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas menyatakan sayap parti itu "lebih" layak memegang dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan Pas, yang akan berlangsung esok.

Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib berkata, perkara itu bukan bermaksud Dewan Ulama mahukan kuasa tersebut tetapi lebih kepada prinsip dan perlembagaan parti yang meletakkan al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qias sebagai panduan dan rujukan Pas.

Justeru, beliau berkata mengikut logik golongan yang arif mengenai perkara tersebut adalah ahli Dewan Ulama Pas.


"Bukan hendak kepada jawatan, kerana prinsip dan dasar Pas itu memerlukan kepada ulama.

"Sebab Pas kata rujukan tertinggi pada Pas adalah Quran , sunnah, ijmak dan qias.

"Jadi berdasarkan rujukan tertingginya adalah sunnah, ijmak, Quran dan qias, jadi siapa lagi dari segi sudut logiknya siapa lebih memahami perkara itu.

"Jadi sekiranya mengikut kefahaman kami, jadi ulama yang lebih faham berbanding yang lain tetapi golongan profesional itu kita perlu ini rahsia kekuatan dan kekukuhan Pas," katanya pada sidang media sejurus selesai ucapan penangguhan Muktamar Dewan Ulama Pas ke-59, di sini, hari ini.

Terbaru, Dewan Ulama Pas yang bersidang petang tadi telah  menerima usul tanpa bahas yang mendesak Pas Pusat memasukkan fasal yang memperuntukkan jawatan presiden, timbalan dan sekurang-kurang salah seorang naib presiden terdiri daripada ulama.

Desakan yang dibuat oleh Urusan Ulama Pas Kuala Nerus, Terengganu itu supaya "tidak timbul kecelaruan" dalam pemikiran ahli dan memastikan kelangsungan kepimpinan ulama berhubung kepimpinan di peringkat tertinggi parti itu.

Berdasarkan usul yang diedarkan kepada perwakilan, usul kawasan itu telah dibawa dan diluluskan dalam Muktamar Dewan Ulama Pas Terengganu.

Sehubungan itu, Harun berkata, kerjasama antara golongan ulama dan profesional adalah rahsia kekuatan Pas.

"Mengikut pandangan saya rahsia kekuatan Pas, disebabkan oleh gabung jalinnya yang mantap antara golongan ulama dan dipanggil golang tidak ulama iaitu profesional.

"Jadi gabung jalin itu hendaklah dikekalkan dalam bentuk yang disarankan tadi oleh ahli kita, yang mana jika pimpinan tertinggi itu ada lima orang iaitu presiden, timbalan presiden dan naib presiden maka gabung jalin yang mantapnya patut berlaku presiden dan timbalan presiden itu dari ulama dan tiga orang daripada naib itu, sekurang-kurangnya satu orang dari ulama.

" Jadi itu terpulang terserah kepada muktamar ini cadangan sahaja," jelasnya.

No comments: