Tuesday, November 12, 2013

Konspirasi jatuhkan Gani, tunggu pengesahan Mahathir


KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi melibatkan diri dalam kontroversi berprofil tinggi kali ini dalam dakwaan wujudnya komplot menjatuhkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ketika ditanya mengenai akuan bersumpah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa bahawa ada satu mesyuarat diadakan di rumah beliau membincangkan kesalahan Gani, Mahathir tidak menafikannya, tetapi hanya sekadar menegaskan bahawa beliau akan hanya memberi ulasan selepas membaca akuan bersumpah itu.

Di dalam akaun bersumpahnya, Mat Zain mengakui turut menghadiri mesyuarat tersebut bersama Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di rumah Mahathir ketika Hari Raya Aidilfitri pada 10 Ogos lalu.

Shafee bagaimanapun dilaporkan berkata bahawa mesyuarat berkenaan tidak berbincang untuk menggulingkan Gani dan mendakwa Mahathir tidak mungkin terlibat dengan komplot ini.

Justeru, beberapa persoalan timbul termasuk; antara Mat Zain dan Shafee, siapa yang sedang bercakap benar?

Apakah jawapan Mahathir tanpa sebarang penafian itu membuktikan apa yang Mat Zain ceritakan di akaun bersumpahnya adalah benar?

Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Mahathir turut mendakwa beliau terdengar berita bahawa di Jabatan Peguam Negara terdapat dua agen perisik CIA (Central Intelligence Agency) dari Amerika Syarikat.

"Saya dengar. Saya tiada bukti, dua agen CIA ada pejabat di Pejabat AG. Mungkin ada mungkin tidak. Saya tak tahu. AG pun belum sahkan lagi," kata beliau yang dipetik The Malaysian Insider.

No comments: