Tuesday, November 12, 2013

Projek SCORE mangsakan hak milik tanah pribumi Sarawak

SARAWAK Corridor for Renewable Energy ataupun SCORE adalah program pembangunan ‘centre-piece’ kerajaan negeri Sarawak yang dikatakan bakal menjadi pemangkin transformasi Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2020.

Projek yang merangkumi 70,000 km persegi daripada wilayah tengah negeri ini dijangka menempatkan 1.6 juta pekerjaan di samping mengembangkan ekonomi Sarawak 5 kali ganda jauh lebih besar daripada sekarang. Satu wawasan yang amat ‘ambitious’ untuk sebuah negeri yang seringkali distigma sebagai ‘negeri miskin’.


Komponen utama SCORE sebenarnya adalah potensi penjanaan tenaga hidroelektrik yang dianggarkan berjumlah 20,000 MW. Untuk tempoh 2008 sehingga 2020, sejumlah 12 empangan hidroelektrik di Murum, Baram, Linau, Lawas, Baleh, Belaga, Metjawah, Belepeh, Tutoh, Limbang, Batang Ai (tambahan) dan Ulu Air bakal dibina untuk keperluan SCORE, meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik di negeri ini daripada sekarang sekitar 1,315 MW kepada 7,249 MW.

Berdasarkan perangkaan 2008 - 2010, pertumbuhan keperluan tenaga elektrik di Sarawak adalah sekitar 13% setahun dan permintaan beban puncaknya buat masa kini, adalah sekitar 1,100 MW. Dengan adanya empangan Bakun (2,400 MW) dan Murum (944 MW), kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sarawak sebenarnya melebihi keperluan rakyat dan sektor komersial di negeri ini.

Malahan, jika diunjurkan berdasarkan kadar pertumbuhan yang sama dan mengambil-kira kedua-dua empangan di atas dan sebuah lagi loji janakuasa arang batu yang baru iaitu Balingian I di Mukah (600 MW), margin simpanan penjanaan tenaga Sarawak bakal mencecah 41% pada tahun 2020. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding rekomendasi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hanya pada kadar 25%. Jadi siapakah sebenarnya benefisiari utama daripada 20,000 MW yang bakal dijanakan nanti?

Dengan tawaran tarif elektrik yang amat murah sekitar 9-14 sen/kWh berbanding tarif purata untuk pengguna domestik dan komersial di Sarawak sekitar 33 sen/kWh, SCORE sememangnya menarik perhatian syarikat-syarikat peleburan aluminium, ferro-aloi dan besi dari seluruh dunia. Industri-industri ini amat berintensifkan tenaga dan mana-mana wilayah yang mampu membekalkan sumber tenaga yang ‘reliable’ dan murah tentunya menjadi pilihan. Mereka inilah sebenarnya benefisiari utama SCORE.

Setakat ini, Sarawak Energy Berhad (SEB) telah menandatangani 7 perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan pemain-pemain industri ini dengan jumlah keperluan tenaga sebanyak 1,920 MW yang hampir keseluruhannya bakal datang dari empangan Bakun. Ironisnya, 10,000 orang rakyat Sarawak daripada masyarakat Penan telah disesarkan dan kawasan hutan hampir sebesar Singapura telah pun ditenggelamkan untuk semua ini. Adakah ini pengorbanan yang berbaloi untuk pelaburan RM 10.4 bilion daripada pemain-pemain industri itu?

Nasib yang serupa telah dialami oleh sekitar 1,600 orang Penan dan Kenyah di Murum yang bakal beroperasi tidak lama lagi. Projek empangan di Baram pula bakal mensesarkan sekitar 20,000 rakyat Sarawak daripada etnik Kenyah, Kayan dan Penan. Walaupun menerima penentangan hebat daripada rakyat di sana, kerajaan Sarawak terus tidak menghiraukan pandangan rakyat mereka sendiri tanpa rasa kesal. Pelabur-pelabur industri pelaburan ini terus dikejar dan ditawarkan seribu-satu insentif untuk bertandang ke SCORE. Kadangkala kita tertanya-tanya siapakah sebenarnya yang memilih mereka di dewan yang mulia itu?

Inilah hakikat sebenar model pembangunan SCORE yang dibangga-banggakan itu. Pemusnahan kawasan hutan berharga dan perampasan tanah milik rakyat Bumiputera Sarawak juga cara hidup mereka atas nama pembangunan. Pembangunan untuk menjanjikan sumber tenaga yang amat murah buat industri-industri yang bukan sahaja ‘highly energy-intensive’ malahan yang jauh lebih merisaukan, ‘highly polluting’.

Inilah pembangunan tanpa jiwa, ia bukan untuk rakyat tetapi hanya untuk angka-angka besar ekonomi. Bakun dan Murum sudah menjadi saksi ‘hubris’ sang penguasa yang menjengkelkan, mungkinkah Baram akan terselamat dari gelombang SCORE yang maha deras ini?
______________

No comments: