Wednesday, November 27, 2013

Makna air mata pemimpin Pas

  • Makna air mata pemimpin Pas
 1 / 1 
ADA babak air mata di Stadium Malawati, Shah Alam petang Ahad lalu. Husam Musa sebak ketika berucap. Salahuddin Ayub turut mengesat air mata di tempat duduknya.

Tuan Ibrahim yang kembali semula ke kerusi yang pernah diduduki, pun juga melantun nada syahdu dalam ucapan penangguhan. Semuanya menangisi tersingkirnya Mahfuz Omar dari kerusi Naib Presiden Pas yang mereka masing-masing menangi!
   
Bagi Husam, kerana dialah Mahfuz tersingkir. "Datuk Mahfuz pemimpin yang lebih baik daripada saya tetapi kerana saya dapat lebih 16 undi daripada dia, dia tidak lagi jadi Naib Presiden kita," katanya dalam nada yang tersekat-sekat.


Jangan! Janganlah sesiapa mengatakan Husam berpura-pura atau buat-buat. Inilah semangat setiakawan yang ada dalam Pas. Walaupun dalam perkara lain Pas sudah banyak berubah, semangat setiakawan sesama pemimpinnya masih tidak berubah. Kalau parti lain, bersaing rebut jawatan bukan hanya mencetuskan dendam bermusim malah mungkin dibawa ke liang lahad!

Mahfuz hanya ketawa, menepuk-nepuk belakang rakan-rakannya yang menang ketika mereka datang memeluknya selepas menyampaikan ucapan. Rasanya semua yang ada dalam Stadium Malawati petang itu benar-benar mengkagumi dan menyanjung tinggi Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Namun langit tidak selalu cerah. Esoknya, ketika hadir di Dewan Rakyat untuk membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 bagi Kementerian Pertahanan, kekalahan Mahfuz jadi bahan usikan penyokong kerajaan.
Bagi Mahfuz sendiri, barang kali pada masa itu baru dia terasa azab kekalahan, membalas usikan mereka dengan berkata: "Walaupun tak ada jawatan (dalam parti), saya mai (datang) awai (awal) untuk lawan Umno!"
Berangin sungguh Pesuruhjaya Pas Kedah itu sepanjang perbahasan hingga ada yang mengatakan dia melepas geram kalah dalam pemilihan Pas di Dewan Rakyat.

Di luar, ramai yang mengatakan Mahfuz tidak seharusnya kalah mengambil kira kejayaan Pas Kedah mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau pada PRK baru-baru ini.

Benarkah begitu?

Seorang pemerhati politik Pas ketika diminta komen mengenai perkara itu berkata, kejayaan mempertahankan Dun Sungai Limau tidak boleh dianggap kayu ukur kepimpinan Mahfuz.

"Ini kerana Sungai Limau sejak lama dulu memang kerusi Pas. Ustaz Azizan sendiri pegang lima penggal. Sebelum itu, Pak Ya Junid dan Ustaz Azahari Razak pun lama. Kita percaya, siapa juga pun yang jadi Pesuruhjaya Pas Kedah, kerusi Dun Sungai Limau akan kekal di tangan Pas. Tetapi kalau terlepas, itu dikira teruk sangatlah ...," katanya.

Menurut pemerhati itu lagi, lebih munasabah jika dikira bahawa imej dan kredibiliti Mahfuz sudah tercemar ekoran perbuatan memalsukan gambar wartawan dalam profil calon Pas pada pilihan raya itu.

"Ini kerana dia adalah ketua jentera pilihan raya. Sebagai ketua, dia yang seharusnya bertanggungjawab," katanya. Mahfuz adalah Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau.

"Kalau nak dikira, ini paling memalukan Pas. Tak pernah sebelum ini Pas terkantoi menipu, apa lagi dalam pilihan raya dan inilah kali pertama. Mungkin juga ini yang bermain dalam psikologi perwakilan kerana daripada 11 calon Pas Kedah dalam pemilihan ini, hanya tiga menang, itu pun untuk jawatankuasa biasa saja. Yang lain kalah, termasuk Mahfuz sendiri," katanya lagi.

Jika komen ini diambil kira, apakah mungkin air mata tiga Naib Presiden yang menang di Stadium Malawati petang Ahad lalu tidak dikongsi bersama dengan kesemua 1,086 perwakilan, terutama mereka yang tidak mengundi Mahfuz?

Sebelum pemilihan, ramai meramal Husam yang akan tersingkir. Apa lagi sejak tidak dilantik semula sebagai Exco Kelantan, dia begitu lantang menghentam Kerajaan Negeri hingga ada yang menganggap kelantangannya itu telah menjejaskan imej Pas, lebih daripada apa yang dilakukan oleh wakil rakyat BN sendiri.

Jika dilihat perbezaan undi pun, Husam jauh ke bawah berbanding Tuan Ibrahim yang menduduki tangga kedua. Tuan Ibrahim mendapat 849 undi manakala Husam, 520. Mahfuz sebagai penyandang dua penggal pula hanya mendapat 504 undi.

Dalam konteks ini, perwakilan dilihat cenderung untuk memilih pemimpin yang bersikap sederhana dan tidak semestinya yang lantang bersuara asal sahaja mempunyai kredibiliti dan ciri-ciri kepimpinan yang mantap.

Salahuddin yang mendapat 917 undi, amat dikenali dengan kesederhanaannya menjadikan dia antara pemimpin Pas yang paling dihormati kawan dan lawan. Demikian juga Tuan Ibrahim. Ini menunjukkan bahawa ahli Pas di peringkat akar umbi juga tidak memilih title YB untuk mengangkat seseorang pemimpin ke kedudukan yang tinggi dalam parti.

Sudah nasib Salahuddin dan Tuan Ibrahim berpangkalan di negeri dominasi BN!

Tuan Ibrahim telah menunjukkan ciri-ciri ulama sejati dan tidak mengejar jawatan dalam karier politiknya. Umum mengetahui bahawa selain Husam dan Mohd Amar Nik Abdullah, dia juga mendapat pencalonan daripada Pas kawasan untuk mencabar Mat Sabu bagi jawatan Timbalan Presiden.

Ketika itu, timbul keraguan bagi golongan pro ulama dalam Pas bahawa apabila kedua-dua Mohd Amar dan Tuan Ibrahim sama-sama bertanding, ia hanya akan memecah undi pro ulama yang sekali gus menjadi advantage bagi sama ada Mat Sabu atau Husam (Husam juga mendapat banyak pencalonan untuk kerusi Timbalan Presiden).

Akhirnya, Tuan Ibrahim memutuskan untuk tidak bertanding kerusi No 2 itu meskipun tidak dinyatakan sama ada keputusan itu untuk memberi laluan kepada Mohd Amar.

Ini menunjukkan sikap sebenarnya meskipun ada yang mengatakan, jika Tuan Ibrahim yang berlawan straight fight dengan Mat Sabu tempoh hari, peluangnya untuk menang lebih cerah.

Ini kerana Tuan Ibrahim lebih dilihat sebagai pemimpin nasional berbanding imej Mohd Amar yang lebih menjurus sebagai 'pemimpin Pas Kelantan'.

Apa pun, ini tahun kembali bagi Tuan Ibrahim dan mungkin peluangnya untuk bertanding dan menang kerusi No 2 pada 2015 lebih cerah malah mungkin jika Tok Guru Hadi membuat keputusan untuk berundur pada masa itu, Tuan Ibrahim juga layak diangkat ke kerusi No 1. Untuk Mahfuz, perkemaskan jentera Pas Kedah. Enta masih berpeluang cerah untuk dilantik semula sebagai Ketua Penerangan.

No comments: