KUALA LUMPUR: Agak mengelirukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menter,i Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan ditawarkan juga kepada mereka yang sudah memiliki rumah.
Mengikut laman web Perbadanan PR1MA Malaysia, PR1MA telah ditubuhkan untuk menyediakan perumahan gaya hidup berpatutan untuk rakyat berpendapatan sederhana di kawasan bandar-bandar utama.
“Tetapi melalui kenyataan menteri ini, jelas objektif utama perlaksanaan PR1MA tidak diikuti,” ujar Koordinator Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), R. Thevarajan dalam satu kenyataan.
Katanya, jika pembaca melayari laman web http://www.pr1ma.my/eligibility.html, masih jelas kelihatan salah satu kelayakan awal iaitu "tidak memiliki lebih daripada 1 hartanah sama ada anda atau pasangan anda jika ada".
“Apa yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan dengan membenarkan pembeli yang sudah memiliki rumah untuk membuat permohonan rumah melalui PR1MA?” tanya beliau.
Jelas, ujarnya kerajaan tidak berniat untuk mengurangkan beban rakyat yang menyara hidup di bandar dengan beban kos hidup yang semakin tinggi dan terus meningkat.
Katanya, golongan muda yang dalam keadaan tertekan untuk membeli rumah pada masa kini, akan lebih tergugat dengan pengumuman itu.
Menurutnya, pembeli rumah yang pertama terpaksa bersaing bersama pembeli yang sudah memiliki rumah semasa permohonan perumahan.
“Siapakah yang harus diberi keutamaan untuk memiliki rumah?
“Bukankah perubahan dari segi kelayakan PR1MA ini akan menggalakkan lebih ramai untuk membeli rumah bagi tujuan ‘investment’ atau pelaburan?” soalnya lagi.
Ini, ujar beliau merupakan realiti pada masa sekarang yang turut mengakibatkan spekulasi harga rumah yang melambung tinggi sekaligus menyukarkan seseorang untuk membeli rumah.
Secara praktikalnya, kata beliau seseorang itu bukan boleh tinggal di beberapa rumah pada sesuatu masa.
Tambahan pula, katanya alamat surat menyurat hanya tertumpu pada satu alamat kediaman yang rasmi sahaja.
Oleh itu, ujar beliau kerajaan harus memberi fokus utama kepada pembeli rumah pertama kerana hak perumahan rakyat adalah suatu hak asasi manusia dan bukannya profit semata-mata.
No comments:
Post a Comment