Monday, December 30, 2013

Anwar Tolong Jangan Turun Dataran Merdeka Esok

Ada perkhabaran kurang baik yang baru aku terima mengatakan himpunan TURUN (Himpunan Guling Kerajaan) yang bakal diadakan esok, tidak akan dapat sambutan ramai berikutan kelemahan pihak penganjur menyenaraikan apa jenis barang keperluan yang telah naik?

Selain itu, tidak seperti himpunan Bersih dan lain-lain yang dianjurkan sebelum ini, himpunan TURUN ini juga kurang hebahan massa, melainkan gerakan melalui Facebook, Twitter dan sebagainya yang hebat dimainkan sekarang.

Nasib baik media arus perdana memberikan sedikit hebahan percuma melalui bantahan pelbagai pihak terhadap penganjuran himpunan tersebut yang setakat ini telah mengumpul lebih 1,300 laporan polis di seluruh negara.

Pihak penganjur bagaimanapun tidak boleh bergantung kepada faktor-faktor semacam ini semata-mata atau berharap Pakatan Rakyat akan membantu saja.  Mereka perlu melipatgandakan usaha sendiri untuk menarik ramai orang ke himpunan tersebut terutama di kalangan mahasiswa.

Kalau tidak dapat bukti ada mana-mana barangan keperluan yang naik harganya, cari atau reka, takkan itu pun nak ajar?

Tidak kurang penting semua aspek wajib yang perlu ada dalam himpunan seperti ini.  Contohnya, sehingga sekarang aku masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai siapa yang akan mengetuai perarakan dari lokasi berkumpul yang telah ditetapkan sebelum ini.

Semua ini telah mengurangkan minat orang ramai untuk turun beramai-ramai bagi memberikan sokongan terhadap himpunan tersebut.  Maksud penganjuran baik, tapi kerana gerak kerja yang lemah, telah menyebabkan himpunan ini gagal mencapai matlamat yang diharapkan.

Maka itu aku menyerulah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar tidak turun ke Dataran Merdeka esok bagi mengelakkan pemimpin utama Pakatan Rakyat itu dari dimalukan oleh jumlah kehadiran yang tidak seberapa.

Sudahlah himpunan anti GST di Kg Baru yang diadakan 20 Disember lepas gagal menarik jumlah peserta yang ramai dimana kurang 400 orang sahaja yang hadir, berbanding anggaran awal penganjur seramai lebih 30,000 orang.

Kecualilah kalau penganjur TURUN ini dapat buat sesuatu pada saat-saat akhir ini bagi menaikkan mood orang ramai untuk menyokong himpunan tersebut, mungkinlah, tapi aku tak nampak bagaimana dengan jangka masa yang singkat ini perkara itu boleh dilakukan.

Hal-hal macam ini mengingatkan aku kepada sentuhan Datuk S Ambiga yang gemilang dengan kejayaan dari penganjuran beberapa siri himpunan Bersih sebelum ini.  Rasanya, negara ini tidak akan ada lagi tokoh yang macam ini lagi dah.

No comments: