Tuesday, December 17, 2013

Benarkah Omar Ong Penasihat Najib?

Isu ini mungkin masih kabur di kalangan sesetengah orang, tapi aku melihat ada kecenderungan baru di kalangan ahli-ahli UMNO kebelakangan ini menyalahkan penasihat-penasihat Perdana Menteri di atas beberapa keputusan tidak popular yang dibuat kerajaan BN.

Antara yang sering menjadi sasaran ialah salah seorang pengasas Ethos Consultant, Mustafa Omar Ong Abdullah.

Bermula sebagai pegawai khas Timbalan Perdana Menteri pada zaman Tun Abdullah Badawi, Omar Ong kini katanya seorang penasihat rasmi Najib Tun Razak.  

Ikut gegak gempitanya, Omar Ong ini terlalu hebat sehinggakan Najib katanya tidak boleh membuat apa-apa keputusan pun kalau tidak mendengar pandangan Omar Ong terlebih dahulu; sehingga mendatangkan benci kepada pegawai-pegawai terdekat Najib sendiri.

Yang mana kalau nak dikirakan bijak, memang patutlah sebab budak ini katanya lulusan Oxford dalam bidang ekonomi.  Semasa Abdullah menjadi Perdana Menteri, Omar Ong mengetuai kumpulan 'budak-budak tingkat 4' yang kemudian menjadi antara punca kejatuhannya.

Malah disebutkan juga bahawa Omar Ong adalah punca utama yang membawa kepada perletakan jawatan Tun Mahathir Mohammad sebagai Penasihat Petronas baru-baru ini.  

Bagi yang tidak tahu, Omar Ong adalah ahli lembaga Pengarah bukan eksekutif syarikat minyak milik negara itu.

Tapi persoalannya, benarkah begitu?

Setakat yang aku tahu, nama Omar Ong ini tidak wujud dalam mana-mana Majlis penting yang ditubuhkan untuk menasihat kerajaan dan Perdana Menteri dalam pelbagai sektor mengikut pengkhususan tertentu.

Antaranya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan sebagainya.  Semua ini adalah badan-badan yang memainkan peranan penting dalam menentukan halatuju ekonomi negara kita

Kalau Omar Ong tidak wujud disitu, bagaimana pula dia boleh memainkan peranan yang begitu penting seperti dikatakan ramai orang, terutama di kalangan orang UMNO, sampai Mahathir pun boleh letak jawatan kerana dia?

Atau ini sebenarnya watak yang sengaja dicipta untuk mengalihkan perhatian rakyat dari pembawa masalah yang sebenarnya?  Senang cerita, kambing hitamlah.

Pendekatan seumpama ini bukan luar biasa di Malaysia, pernah berlaku dulu pun.  

Ketika ekonomi negara runtuh akibat permainan spekulator wang asing pada 1997, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada waktu itu, dijadikan kambing hitam oleh Mahathir untuk menutup kesilapannya sendiri.

Justeru aku nak nasihat, jangan ghairahlah sangat dengan watak bernama Omar Ong ini kerana belum tentu lagi dia punca kepada banyak masalah yang sedang menyusahkan rakyat sekarang. 

Silap-silap hanya watak bayangan.

No comments: