Tuesday, December 31, 2013

‘Mengapa kakitangan awam dibebankan?’

PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan langkah-langkah mengurangkan belanja kerajaan dianggap berat sebelah kerana tidak menyentuh perkara-perkara yang menjadi punca bebanan kewangan.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini berkata pengumuman itu dilakukan kerana pentadbiran Datuk Seri Najib tahu tentang kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang diumumkan Barisan Nasional (BN) akhir-akhir ini.
Namun, katanya, pemotongan elaun keraian sebanyak 10% sedikit pun tidak akan membantu menghentikan pembaziran dan keborosan sedia ada.

Sebagai contoh, elaun Perdana Menteri sekarang yang bernilai RM16,979 akan dipotong sebanyak RM1,698.
“Ini bermakna, Najib hanya memotong sebanyak RM1,698 sebulan dari peruntukannya yang berjumlah berbilion ringgit.
“Daripada sejumlah RM6.8 bilion yang diperuntukkan kepada beliau untuk projek-projek berbentuk kempen politik, satu sen pun tidak dipotong sedangkan perbelanjaan sebeginilah yang menyebabkan wang rakyat dibazirkan dengan sewenang-wenangnya,” kata Rafizi.
Peruntukan RM6.8 bilion ini melalui dana fasilitasi sebanyak RM4 bilion, penyusunan masyarakat sebanyak RM900 juta, program mesra rakyat sebanyak RM665 juta, program pembangunan RM1.1 bilion dan projek khas RM202 juta.
Tambahnya lagi, pengumuman Najib yang banyak melibatkan kakitangan awam seolah-olah memberi gambaran bahawa kakitangan kerajaan adalah punca utama pembaziran pentadbirannya.
“Langkah-langkah seperti menjimatkan elektrik, mengurangkan penggunaan kain rentang dan lain-lain memberi gambaran seolah-olah beliau menyalahkan kakitangan kerajaan di atas kegagalan beliau sendiri mentadbir kewangan dengan baik,” katanya.
Rafizi kemudian menerangkan bahawa punca utama masalah kewangan negara adalah pucuk pimpinan pentadbiran yang tidak serius membanteras rasuah, malah juga dilihat terpalit dengan rasuah.
“Akibat amalan rasuah inilah banyak projek-projek yang ditanggung kerajaan dibayar pada harga berkali ganda mahal atau pun menjadi pembaziran kerana tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat,” tambah Rafizi.
Menurutnya lagi, tindakan Najib tidak ubah seperti pengumuman Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tahun 2008 dahulu yang turut mengumumkan pemotongan elaun keraian menteri sebanyak 10%.
“Langkah itu tidak sedikit pun menghentikan pembaziran dan keborosan BN sehinggalah defisit berpanjangan selama 16 tahun berturut-turut,” katanya.
Rafizi kemudian menegaskan jika Najib benar bersama-sama rakyat mahu menangani krisis kenaikan kos sara hidup, beliau perlu mengambil tindakan secepat mungkin menghentikan perjanjian-perjanjian berat sebelah dan dasar kerajaan yang membebankan rakyat seperti berikut.
Antaranya, Najib haruslah menurunkan cukai eksais kereta serta-merta sebanyak 30% ke arah menghapuskan cukai eksais kereta sepenuhnya kerana hutang kereta adalah salah satu bebanan utama rakyat.
Kenaikan tol juga haruslah dihentikan dan rundingan kembali dilakukan terhadap perjanjian-perjanjian konsesi tol supaya lebuhraya yang sudah mendapat kembali modal pelaburan dikembalikan kepada rakyat.
Rafizi juga meminta agar  Najib membatalkan peruntukan untuk projek yang bertujuan memberi ruang berbelanja kepada menteri-menteri tanpa matlamat yang jelas, contohnya peruntukan untuk National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang berjumlah RM278 juta seperti yang diumumkan di dalam Belanjawan 2014.
“Beliau juga seharusnya membekukan kesemua program penswastaan yang diusahakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) terutamanya penswastaan kampus-kampus UiTM di seluruh negara,” katanya.
Projek ini dijangka membebankan rakyat dan kerajaan dengan berbilion ringgit yang perlu dibayar sebagai sewa kepada pemegang konsesi di masa hadapan, kata Rafizi.

No comments: