Tuesday, December 24, 2013

Tee Yong salah sasaran

PETALING JAYA: Naib Presiden baharu MCA Chua Tee Yong yang sepatutnya menyalahkan kerajaan berkenaan kenaikan harga tol dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, jika Jabatan Perdana Menteri dan kabinet boleh meluluskan penggunaan jet persendirian untuk kegunaan Datin Seri Rosmah Mansor, mengapa mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk mengurangkan beban rakyat.

“Sungguh mengecewakan apabila ahli politik muda sering menimbulkan isu tanpa sebab. Nampaknya isu Talam belum cukup untuk mengajar Tee Yong.
“Tee Yong harus memeriksa fakta terlebih dahulu tapi nampaknya dia sudah memusnahkan kredibiliti beliau sendiri. Seperti bapanya, Tee Yong tidak mengindahkan kehendak rakyat tapi hanya mengejar populariti,” kata Zuraida dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zuraida, kenyataan Tee Yong itu hanya ‘membunuh’ MCA sendiri yang sudah tidak ditolak rakyat Malaysia.
“Beliau tidak hanya harus menjadi hamba kepada pimpinan Barisan Nasional (BN). MCA sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi dan kenyataan Tee Yong itu hanya memburukkan lagi parti tersebut,” katanya lagi.
Ketua Wanita Keadilan itu berkata Tee Yong tidak seharusnya hanya mencari populariti dengan menyerang ketua pembangkang sebaliknya beliau harus belajar mengambil berat mengenai rakyat terlebih dahulu.
“Jika dia betul-betul mengambil berat kebajikan rakyat Malaysia, dia sepatutnya menyuarakan isu kenaikan harga gula, petrol dan tarif elektrik.
“Dia sepatutnya tanya Perdana Menteri tentang janj-janji beliau yang tidak ditunaikan dan faedah-faedah yang tidak munasabah yang dinikmati oleh syarikat-syarikat konsesi,” tambah Zuraida.
Tee Yong dalam ucapan penggulungannya dalam Perhimpunan Agung MCA 2013 pada Disember 22 menyalahkan Anwar tentang kontrak berat sebelah diantara kerajaan dan syarikat pemegang konsesi.
Menurut Tee Yong, Anwar merupakan Menteri Kewangan diantara 1991 hingga 1998 ketika kebanyakkan kontrak tol dimeterai.

No comments: