PETALING JAYA: Heboh seluruh negara apabila akhbar The heat digantung penerbitannya minggu lalu. Menurut pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN), akhbar mingguan The Heat digantung kerana mereka tidak memaklumkan berlaku pertukaran pemilikan dan hala tuju daripada sebuah akhbar perniagaan.
“Permit penerbitan The Heat mensyaratkan pemilik untuk memberitahu KDN jika berlaku pertukaran pemilikan.
“Tambahan pula, permit adalah untuk akhbar perniagaan mingguan. Bagaimanapun, syarat-syarat ini dilanggar,” kata KDN dalam satu kenyataan.
Akhbar mingguan The Heat yang dilancarkan September lalu digantung pada minggu ini selepas menerima surat tunjuk sebab kedua daripada KDN.
Sebelum ini, KDN menafikan dakwaan bahawa penggantungan The Heat adalah disebabkan laporan tentang perbelanjaan tidak berhemah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
“Keputusan penggantungan tidak ada kena mengena dengan laporan The Heat mengenai Perdana Menteri dan sebarang tuduhan sebaliknya adalah tidak berasas,” kata jurucakap KDN, dipetik oleh The Wall Street Journal.
KDN berkata, permit penerbitan akhbar mingguan berbahasa Inggeris itu digantung kerana mereka melanggar syarat ditetapkan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penggantungan akhbar The Heat berkuatkuasa serta merta selepas diberikan surat tunjuk sebab.
Beliau berkata, ia merupakan prosedur biasa sementara menunggu jawapan kepada surat tunjuk sebab, sebelum tindakan selanjutnya daripada KDN.
“Penerbit mempunyai masa sehingga 24 Disember untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada mereka,” kata Wan Junaidi kepada The Malaysian Insider.
Sekatan
Najib, setelah mengambil alih pucuk pimpinan daripada Tun Abdullah Badawi, mengumumkan beberapa langkah ke arah ruang demokrasi, termasuk kelonggaran sekatan terhadap media.
Bagaimanapun, tindakan menggantung The Heat dilihat sebagai percubaan mengembalikan era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menunjukkan kawalan ketat ke atas media.
Walaupun KDN tidak menyatakan secara spesifik berhubung mana-mana artikel, dipercayai ia disebabkan oleh rencana muka depan akhbar itu bertajuk “All eyes on big spending Najib”dalam edisi 23-29 November, 2013. – 21 Disember, 2013.
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan kerajaan menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Heat, yang disifatkannya sebagai perbuatan kasar untuk menekan kebebasan bersuara.
Anwar dalam satu tulisan di Twitter berkata, beliau yakin tindakan terbaru KDN itu tidak akan memadamkan “api kebebasan” yang dibawa oleh akhbar tersebut.
“Usaha kasar untuk mengekang kebebasan berusara tidak akan menghapus kehangatan. Api kebebasan tidak akan mudah terpadam,” katanya.
Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin membangkitkan semula janji yang dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk memberi peringatan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung tindakan keras pihak kerajaan ke atas satu akhbar mingguan The Heat.
Kadir berkata, Najib dalam satu tulisan di laman web rasmi perdana menteri antara lainnya menyebut mengenai reformasi, termasuk menamatkan Ordinan Darurat, ISA dan paling khusus adalah pemansuhan sekatan ke atas lesen penerbitan.
Namun, Kadir memerhatikan bahawa tindakan yang dikenakan ke atas The Heat, yang digantung permit penerbitan sehingga satu tarikh yang tidak dipastikan, menunjukkan percanggahan pada janji Najib.
“Dengan mengarahkan penggantungan (permit) The Heat, Menteri Dalam Negeri mungkin terlupa (atau tidak tahu) bahawa PM membuat janji yang kuat untuk menyokong kebebasan.
Tekanan
“Apa pun, PM juga pernah memberitahu bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir,” kata Kadir dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com.
Tambahnya, tindakan yang dikenakan ke atas The Heat menunjukkan para pemimpin politik tersebut masih belum mendapat pengajaran dari tekanan yang dilakukan ke atas penulis blog ketika pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, para pemimpin politik antara lainnya menggelarkan penulis blog yang giat mengkritik kerajaan pada masa itu sebagai golongan “goblok” yang bermaksud “bodoh”, dan juga “penembak curi”.
Ia secara tidak langsung memberi publisiti kepada blog berkenaan apabila serangan tersebut dilaporkan secara meluas di media yang dikawal kerajaan, kata Kadir.
Sementara itu, sekumpulan kumpulan wartawan yang menggelar diri sebagai Gerakan Media Marah (GERAMM) melancarkan kempen bantahan terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung mingguan The Heat.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu mahu melakukan kempen di laman media sosial Twitter selama satu jam sehari bermula Isnin (hari ini) dengan menggunakan hashtag #theheat dari jam 9.30 malam.
Mereka juga menyeru agar pengamal media memakai pakaian merah setiap hari Jumaat sebagai simbol solidariti.
GERAMM turut menuntut agar KDN membatalkan tindakan tindakan terhadap The Heat dan membenarkan akhbar mingguan itu beroperasi seperti biasa.
KDN turut didesak untuk memohon maaf secara terbuka kepada The Heat dan semua pengamal media serta pengguna media atas pencabulannya terhadap ruang kebebasan media selama ini.
Tindakan menggantung permit The Heat, turut mendapat kecaman Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ)
Memantau
Presiden NUJ Chin Sung Chew berkata hal itu tidak sepatutnya berlaku kepada media yang hanya menjalankan tugas kepada negara.
“Media itu sendiri hanya memainkan peranan dalam memantau segala salah laku kerajaan yang memerintah.
“Kita mesti memberi orang ramai akses kepada informasi sebegitu kerana mereka berhak, dan ia berkaitan kepentingan awam,” kata beliau.
Ching turut berkata tindakan penggantungan oleh pentadbiran Najib ini sebagai langkah kurang bijak.
“Dengan ranking kebebasan media seperti yang dilaporkan Reporters Without Borders di tempat ke-145 pada 2013, tidak bijak untuk kerajaan mengambil tindakan sebegini ke atas media,” kata beliau.
NUJ dianggotai kira-kira 1,500 wartawan pelbagai media cetak di Semenanjung Malaysia dan menjadi perkumpulan petugas media terbesar di negara ini.
Sementara itu satu kenyataan KDN menyebut The Heat memohon permit atas nama majalah tetapi The Heat diterbitkan dalam bentuk suratkhabar. Jadi salah siapa? Adakah salah KDN atau The Heat? Kenapa The Heat tidak mohon permit sebagai akhbar?
Apabila The Heat dikatakan majalah perniagaan, kenapa pula ada berita politik? Ini yang dipersoal oleh KDN. Oleh itu sebelum menuduh KDN berlaku zalim kepada The Heat, kita semua kena teliti borang permohonan asal The Heat, adakah ia memohon atas nama majalah atau suratkhabar?
Kita memang tidak menyokong usaha menyekat kebebasan akhbar tetapi yang peliknya kenapa pihak pengurusan The Heat tidak memaklumkan kepada KDN pertukaran pemilik serta format yang ada. Yang lebih membingungkan kita, kenapa pengurusan The Heat tidak menjawab surat tunjuk sebab yang dihantar oleh KDN?
Oleh itu siapa yang patut disalahkan di sini? Pengurusan The Heat atau KDN?
No comments:
Post a Comment