Monday, January 27, 2014

Akar umbi mahu Shamsul tanding Naib Presiden PKR

PETALING JAYA: Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin belum pasti akan bertanding jawatan apa pada bulan Mei ini.

Namun demikian, akar umbi mahu beliau bertanding jawatan naib presiden PKR.
Menerima baik saranan akar umbi supaya beliau bertanding jawatan tertinggi itu, Shamsul Iskandar bagaimanapun berkata, keputusan muktamad belum dibuat.

“Buat masa sekarang saya belum putuskan, tapi saya mendapat permintaan dari akar umbi yang mahukan saya bertanding jawatan naib presiden secara serius.
“Saya dapat saranan itu daripada seluruh negara dan saya hormati keinginan mereka itu.
“Namun perkara itu masih lama lagi, saya perlu berbincang dengan semua pihak, nanti saya putuskan,” katanya.
Shamsul Iskandar memberitahu, beliau mendapat saranan untuk bertanding oleh sayap parti di beberapa kawasan termasuk Sabah.
Beliau yang juga ahli parlimen Bukit Katil pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan sama pada 2010 namun kemudian mengubah keputusannya.
Shamsul Iskandar mengetuai AMK sejak 2007 sehingga sekarang.
Bagaimanapun, beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut ekoran umurnya telah melebihi 35 tahun seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan PKR.

No comments: