Monday, January 20, 2014

Ambil iktibar, jangan sampai menteri pula kena tumbuk



KUALA LUMPUR: Insiden Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan yang ditumbuk adalah suatu lambang amarah yang semakin membuak dan tidak boleh dikawal akibat kurangnya keprihatinan pihak kementerian dalam menangani isu-isu perguruan dan pendidikan di Malaysia, kata Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman.

Beliau yang mesra disapa dengan penggilan Cikgu Mala menegaskan bahawa peristiwa itu jangan dianggap kes terpencil kerana menumbuk atau ingin mencederakan seorang yang bergelar Timbalan Menteri Pendidikan adalah suatu yang mendukacitakan.

“Saya mewakili NGO Pendidik ingin merakamkan rasa simpati atas apa yang dihadapi oleh YB P.Kamalanathan, tetapi apa persoalan yang menjadi sebab utama hingga terjadinya peristiwa yang memalukan ini wajar diteliti dengan penuh keprihatinan oleh Kementerian Pendidikan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, insiden yang berlaku itu telah melakar titik hitam dalam sejarah pendidikan negara dan kajian terperinci perlu dibuat mengapa sehingga terjadinya peristiwa seperti itu.

“Kita harus faham, guru bukannya robot. Mereka mempunyai perasaan. Ada keluarga dan ada anak. Jika penempatan guru yang tidak diambil perhatian hingga terpisah bertahun lamanya sedangkan ada cara untuk membantu guru ini, pasti siapa pun akan berasa marah,” katanya.

Beliau berkata, jaminan Pakatan Rakyat dalam PRU13 untuk mewujudkan solusi 'mesra kelurga' dengan membantu mengkaji semula penempatan warga pendidik yang telah berkahwin dan tinggal berjauhan dari pasangan harus menjadi contoh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurutnya lagi, 'Penempatan Mesra Keluarga' akan diberi keutamaan kepada pasangan guru yang berkahwin bukannya pengumuman kerajaan untuk mengkaji pasangan yang telah berkahwin tetapi hanya sekadar retorik politik dan melepaskan batuk di tangga saja.

Tambahnya, emosi guru dan beban tugas guru perlu diambil perhatian. Kerja semakin bertambah, kebajikan mereka kurang dijaga. Kemungkinan ini menimbulkan kemarahan warga pendidik, jangan sampai Menteri Pendidikan pula kena tumbuk pula selepas ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkenaan agar mengambil iktibar bagaimana peristiwa demo PPSMI yang telah berlaku di mana rakyat marhaen termasuk profesor, Sasterawan Negara, guru-guru, ibu bapa dan pelajar turun berarak ke jalanraya bertujuan untuk menghantar 'Memorandum Rakyat' dan mengadap Yang di-Pertuan Agong beberapa tahun lalu agar dasar PPSMI dimansuhkan.

Terkini, ujarnya isu SPPBS juga mengundang polemik yang berpanjangan.

“Saya berasa bimbang jika Dasar Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak diatasi dengan sewajarnya berkemungkinan dibimbangi akan akan mengulangi sejarah Demo PPSMI sebelum ini. Bertindak sebelum terlambat,” ujarnya.

No comments: