Thursday, January 9, 2014

Antara janji dan hutang

  • antara janji dan hutang
 1 / 1 
IBARAT menangguk di air keruh! Itu peri bahasa sesuai untuk masyarakat yang menderita akibat siri kenaikan harga barangan dan perkhidmatan demi mengurangkan kadar defisit fiskal (perbelanjaan melebihi pendapatan) dan hutang negara.

Secara analoginya, jika seseorang itu berhutang, dia perlu melunaskannya. Namun jika kerajaan pula berhutang, adakah semuanya perlu ditanggung rakyat juga?

Dalam isu kenaikan harga barang, ia dikatakan berkaitan dengan keborosan kerajaan berbelanja menyebabkan jumlah subsidi diberikan kepada rakyat dikurangkan satu demi satu, selang sebulan, bermula September lalu.


Dakwaan kerajaan boros berbelanja ini bukan baharu kerana perkara itu akan dibangkitkan setiap kali harga barang naik, namun kenaikan harga pada kali ini dilihat agak drastik kerana dibuat secara bertindan, sekali gus rakyat jatuh terduduk.

Sejak harga petrol dan diesel dinaikkan 20 sen pada 3 September lalu, pelbagai cadangan diutarakan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencadangkan supaya elaun minyak yang diberikan kepada menteri, timbalan menteri dan pegawai kerajaan dipotong untuk mengurangkan belanja negara.

Kemudian, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaannya bagi tujuan tersebut dan ia mampu menampung pemberian subsidi yang tinggi.

Akhirnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 11 langkah termasuk memotong 10 peratus daripada elaun keraian menteri dan timbalan menteri yang katanya akan disusuli dengan pelbagai inisiatif lagi selepas ini.

Pelbagai respons diterima. Namun ia masih tidak mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga. Malah, barang dan perkhidmatan semakin mahal kerana faktor kesan rantaian lebih besar apabila gula dan tarif elektrik dikurangkan subsidinya.

Tambang bas sekolah, monorel dan LRT serta harga ais yang disusuli dengan kenaikan harga minuman, semuanya dilihat semakin menekan masyarakat pengguna. Yang tidak juga naik, gaji.

Baru-baru ini, sekali lagi Dr Mahathir menerusi entri blognya, menegur kerajaan menaikkan tarif elektrik sebanyak 15 peratus bermula tahun depan, disifatkannya agak tinggi sehingga membebankan pengguna.

Perdana Menteri keempat itu juga, menegur kerajaan yang ada kalanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam sebarang bentuk perbelanjaan.

Beliau turut menyarankan konsep ‘cost down’ antara alternatif terbaik mengelakkan pembaziran, sekali gus mampu menjana pendapatan, berbanding menggunakan pendekatan menaikkan harga untuk meningkatkan pendapatan negara.

Perkara ini membuka mata banyak pihak, kerajaan juga perlu sama-sama berjimat, bukan hanya membiarkan rakyat sendiri terkontang-kanting mengurus kewangan keluarga, sementara mereka bebas berbelanja menggunakan wang rakyat.

Persoalan siapa yang perlu berjimat tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan, jika mahu rakyat berhemah ketika berbelanja, mereka juga perlu menunjukkan teladan sama, bukan hanya pandai berkokok!
Bukan itu sahaja, ada pihak melihat kerajaan lakukan kesilapan besar apabila tidak menunaikan akujanji yang dibuat pada PRU13 lalu iaitu mahu menangani kos sara hidup rakyat yang menjadi salah satu daripada 17 kandungan manifesto mereka.

Melihat kepada makna akujanji itu sendiri dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia merupakan asas untuk melaksanakan sesuatu tindakan (tugas, tanggungjawab, kewajiban dan sebagainya).
Umum mengetahui, kerajaan yang dipimpin BN sebelum ini pernah mengkritik kerajaan PR Selangor yang diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, didakwa tidak melunaskan janji dalam isu pemberian 20 meter padu air percuma.

Ternyata kecaman dalam isu 'manifesto bukan satu perjanjian' yang pernah diungkapkan Abdul Khalid akhirnya terpaksa ditelan semula oleh pemimpin BN yang menyifatkan akujanji mereka ketika pilihan raya, pun juga bukan satu perjanjian!

Kritikan yang dilaung-laungkan sebelum ini, berpatah balik kepada mereka, sekali gus mengundang rasa marah rakyat.

Kemarahan rakyat akibat siri kenaikan barang itu, bakal menjadi penentu sama ada kerajaan BN terus berkuasa pada PRU14 atau tidak.

Lebih menguatkan lagi andaian itu, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) merumuskan, kenaikan harga barang, minyak dan tarif elektrik memberi impak besar kepada masyarakat di negara ini.

Persoalannya, tidak bolehkah siri kenaikan harga barang itu ditangguhkan atau dilaksanakan secara berperingkat mengikut masa bersesuaian? Perlukah rakyat menderita demi menanggung hutang negara? Antara janji dan hutang, yang mana perlu dilunaskan terlebih dahulu?
Sebagai sebuah kerajaan yang sudah 56 tahun memerintah, mereka seharusnya lebih memahami  situasi rakyat. Kesilapan ini sepatutnya boleh dielak dengan kajian menyeluruh dijalankan dan mendapat restu rakyat.

Yang hampir pasti, pesta kenaikan harga ini membuatkan rakyat lebih menderita jika tiada langkah proaktif dilakukan pembuat dasar untuk menangani masalah ini.

No comments: