Wednesday, January 29, 2014

DUN Kajang: Kosongkan Kerusi Wakil Rakyat Untuk Anwar, Satu Langkah Mulia


Bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh secara terus terang menyatakan bahawa beliau meletakkan jawatan kurang setahun berkhidmat, kerana gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

Sememangnya, disebalik kemajuan Kajang hari ini, infrastruktur awam di kawasan tersebut berada pada tahan terburuk, longkang dan parit tidak selenggara dan sebagainya, semua kerana kegagalan Chin Cheh dan ADUN sebelumnya (juga dari PKR) menjalankan tugas.

Baru beberapa bulan ini sahaja, Kajang telah dilanda pelbagai musibah, antaranya banjir kilat akibat sistem penyelenggaraan parit dan longkang yang tidak teratur.  Semua ini adalah bukti kegagalan Chin Cheh sebagai wakil rakyat.

Dikatakan, masalah infrastruktur awam di Kajang ini begitu serius sekali, sehingga tidak ada jalan lain untuk menyelesaikannya melainkan dengan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim disitu. 

Bayangkanlah, untuk mengembalikan semula fungsi longkang dan parit di seluruh kawasan Kajang, memerlukan perbelanjaan yang begitu besar - melebihi peruntukkan yang disediakan oleh kerajaan Selangor untuk semua ADUN Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Peruntukkan yang besar ini begitu mustahil sekali kalau hanya ADUN biasa saja yang mewakili kawasan itu, mesti ada seorang yang luar biasa dan tidak adalah individu lain sepertinya di negeri Selangor, melainkan Anwar kerana beliau juga bakal Menteri Besar.

Seperti yang kita tahu, Menteri Besar Selangor juga adalah Exco yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal kewangan negeri, jadi sesuailah dengan peruntukkan besar yang bakal dikeluarkan untuk menyelesaikan masalah di Kajang.

Ini baru bercakap tentang satu tajuk - perparitan, kalau nak disenaraikan disini, ada banyak lagi.  Jalan raya, kemudahan rakyat dan pelbagai lagi, semuanya berada di dalam keadaan tidak terurus kerana kegagalan Chin Cheh. 

Daripada dipecat dari PKR kerana kegagalan itu, adalah lebih baik Chin Cheh meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat, itu adalah cara terbaik.

Lagipun kerajaan Selangor telah memberikan ganjaran yang setimpal kepada Chin Cheh untuk beliau mengosongkan jawatan tersebut.  

Menurut sumber kerajaan negeri, Chin Cheh masih akan dibayar gaji setaraf ADUN dan pampasan lain yang setaraf dengan pengunduran secara sukarela ini, sehingga PRU14 yang akan datang.

Pembayaran ini adalah berbaloi dengan pengorbanannya di kawasan itu untuk membuka peluang kepada Anwar menjadi ADUN di Selangor dan seterusnya menjadi Menteri Besar negeri termaju di Malaysia itu.

Aku dan rakan yang lain mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lee Chin Cheh atas pengorbanan yang dibuat untuk membuka laluan kepada Anwar.  Sesungguhnya itu adalah satu langkah yang paling mulia.

No comments: