Wednesday, January 22, 2014

Harga barang: Tak perlu kaitkan kerajaan negeri

  • Azman Ibrahim
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU – Isu kenaikan harga barangan tidak seharusnya dikaitkan dengan mana-mana kerajaan negeri kerana kuasa pengawalan kenaikan harga di pihak terlibat sangat terhad.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim ketika mengulas kenyataan beberapa pihak yang mengaitkan kenaikan tersebut yang turut melambung tinggi di negeri-negeri PR seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan memberitahu, tidak banyak yang boleh dilakukan kerajaan negeri tersebut dalam menangani isu kenaikan harga.

Sebaliknya beliau berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menggunakan kuasa yang ada kerana pihak tersebut mempunyai bidang kuasa lebih luas dalam mengawal isu kenaikan harga barangan terutama penguatkuasaan.


“Tidak banyak yang boleh dibuat oleh kerajaan negeri sebab realitinya, peringkat pengawalan terletak pada Pusat seperti kenaikan tarif elektrik, tol dan minyak. Isu kenaikan harga barangan juga bukanlah isu sama ada negeri itu BN atau PR tetapi isu keseluruhan.

“Dari sudut penguatkuasaan, bidang kuasa kerajaan negeri sangat terhad dan mereka tiada kuasa untuk mengambil tindakan kerana ia berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Mungkin tindakan boleh diambil atas PBT tetapi itu pun melibatkan premis dan lesen,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau tidak menafikan berlaku kenaikan yang tinggi di negeri PR seperti Pulau Pinang tetapi tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang cuba mengalih pandangan rakyat daripada isu sebenar, apabila mengaitkannya dengan negeri-negeri PR.

Apa yang jelas katanya, dakwaan sedemikian adalah kenyataan separuh tanpa melihat kepada punca sebenarnya.

Sementara itu, berhubung kenyataan bahawa orang tengah menjadi punca terhadap kenaikan harga barangan, Azman yang juga Ketua Penerangan Pas Kawasan Setiu memberitahu perkara itu tidak seharusnya dilihat ‘sekerat jalan’.

“Kalau tanya orang tengah, sudah tentu mereka berbuat demikian kerana ada puncanya dan akhirnya ia berbalik kepada nadi penggerak ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga turut menafikan dakwaan bahawa kebanyakan orang tengah yang terlibat dalam urusan perniagaan merupakan penyokong pembangkang.

“Jika orang tengah majoriti penyokong PR, sudah tentu PR kaya raya dan kalau mahu menisbahkan mereka sebagai pembangkang, ia adalah terlalu rambang. Dakwaan sedemikian juga sudah tentu bermakna ekonomi Malaysia dikuasai pembangkang. Ini jauh tersasar,” katanya.

No comments: