Tuesday, January 7, 2014

Idea PR sama dengan Dr Mahathir?

  • Tian ChuaTian Chua
 1 / 1 
SHAH ALAM -  "Cadangan kami (terhadap kerajaan Persekutuan) tak ada beza pun dengan (cadangan) Tun Dr Mahathir Mohamad," kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soal dakwaan PR hanya tahu membangkang tanpa memberikan idea atau cadangan berkesan untuk pembangunan negara.

“PR memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kritikal baik di Parlimen, dengan media atau dalam apa-apa tindakan pun. Kita kena sampaikan suara rakyat, apa cara sekalipun.


“PR adalah kuasa rakyat yang berkesan. Kerana apa yang kita bawa itu akhirnya, kerajaan terpaksa jawab,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menurutnya, kerajaan menolak segala cadangan yang dikemukakan PR meskipun cadangan itu selari dengan pandangan bekas perdana menteri, Dr Mahathir.

“Kita ada beri cadangan tetapi kerajaan BN tak setuju saja. Kita cadangkan supaya jangan laksanakan Cukai Barangan dan Jualan (GST) tapi bangunkan agensi anti rasuah yang lebih berkesan.

“Cadangan kita pun tak berbeza dengan Tun Mahathir. Beliau pun kata kurangkan perbelanjaan, kurangkan pemborosan. Kita pun cadangkan itu juga,” katanya yang juga ahli Parlimen Batu.

Sementara bekas ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff turut bersetuju dengan dakwaan tersebut namun tidak secara keseluruhannya.

Menurutnya yang juga Pengerusi Yayasan RIGHTS, PR perlu dilihat mampu mendapatkan dasar-dasar yang kreatif dan lebih hebat.

“Pada alaf 21 ini, rakyat menuntut pemimpin yang bukan saja boleh menimbulkan kesedaran tetapi juga mencari jalan penyelesaian.

"Bagi saya, PR perlu berkembang ke satu tahap di mana ia lebih kepada "solution provider" daripada hanya masih di tahap menjadi pembangkit kesedaran rakyat melalui demonstrasi.

“Kalau demonstrasi masih lagi menjadi keutamaan PR, saya berpandangan mereka masih lagi di tahap yang sama. Kemampuan PR perlu juga diukur bukan sahaja sebagai wadah yang efektif daripada segi kepedulian rakyat,” katanya.

Katanya, rakyat negara ini memerlukan kerajaan yang lebih efisien dan mampu mengangkat dasar-dasar yang lebih menguntungkan rakyat.

“Yang rakyat mahu lihat ialah bagaimana PR sendiri dengan keterbatasan mereka di tiga negeri yang mereka perintah, mampu mengangkat dasar-dasar yang lebih menguntungkan rakyat dan bukan hanya mengambil kesempatan dan menuding jari atas kesilapan pihak lawan.

“Saya kata begini dengan mengambil kira keterbatasan PR yang hanya mentadbir kerajaan negeri. Kita perlukan kerajaan yang pandai dan lebih berkesan. Saya tidak bersetuju secara keseluruhan (PR hanya membangkang). Saya setuju sebahagiannya kerana fasa pertama demonstrasi untuk mengangkat kesedaran tetapi bukan itu saja. Rakyat perlukan penyelesaian,” katanya.

Tambahnya, “dalam keghairahan PR untuk mengadakan demo, PR juga perlu dilihat mampu mendapatkan dasar-dasar yang kreatif dan lebih hebat. Cabarannya adalah, apa modul pembangunan yang rakyat boleh nilai, berbeza daripada pembangunan BN?

No comments: